Buletin

BARU 2 MINGGU DILANCARKAN, HONDA JAZZ PETROL CATAT TEMPAHAN 1,300 UNIT!

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa Jazz Petrol telah menerima tempahan lebih 1,300 unit dalam masa hanya dua minggu selepas ia dilancarkan secara rasmi. Sasaran awal ialah 1,200 unit sebulan. 

Varian E menerima tempahan paling tinggi dengan hampir 40 peratus. Manakala varian V dan S masing-masing mencatat tempatan 32 dan 28 peratus. Tempahan paling tinggi diterima di Lembah Klang (42%). Kawasan lain juga merekodkan tempahan yang memberangsangkan dengan wilayah Selatan mencatat 21 peratus tempahan, Utara (18%), Pantai Timur (13%) dan Malaysia Timur, 6%.

Modern Steel Metallic menjadi warna pilihan, diikuti oleh Lunar Silver Metallic. Jentera kompak itu dilihat berjaya menarik minat golongan yang ingin menaik taraf kereta sedia ada, eksekutif muda dan pembeli kerete kedua.

Jazz Hybrid yang dilancarkan bersama varian petrol juga menerima maklum balas positif daripada pengguna tempatan. Menjadi satu-satunya model hibrid yang ditawarkan pada harga bawah RM90,000 seunit, Malaysia merupakan pasaran pertama yang menerima model tersebut di luar Jepun.

Penghantaran Jazz Hybrid kepada pelanggan akan bermula akhir Julai depan. Honda Malaysia akan memastikan produksi Jazz petrol dan hibrid mematuhi tempoh menunggu selama sebulan, tanpa berkompromi dari segi kualitinya.

Orang ramai boleh mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda untuk memandu uji Jazz Hybrid bermula minggu ketiga Julai 2017. Jazz Hybrid dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan automatik. Jazz Hybrid sangat popular di Jepun dengan jualan lebih 660,000 unit.

Manakala Jazz Petrol pula menggunakan khidmat enjin 1.5L i-VTEC bersama kotak gear CVT. Rangkaian kuasa itu menjanjikan pemanduan yang efisien, lancar dan menyeronokkan.

Jazz facelift ini menerima banyak penambahbaikan. Antaranya termasuklah gril krom, bampar hadapan dan belakang baharu, butang penghidup enjin, kemasukan pintar, butang ECON, rim dua tona (varian V), lampu DRL LED serta kamera undur (varian E dan V) serta banyak lagi.

Dari segi keselamatan, Jazz Petrol yang menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP dilengkapi sistem brek ABS, BA, 4 beg udara (varian E dan hibrid), 6 beg udara (varian V). Varian E, V dan Hybrid dilengkapi Vehicle Stability Assist (VSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill Start Assist (HSA)

BACA: TIADA KIT MODULO UNTUK HONDA JAZZ, NAMUN KIT MUGEN INI TAMPIL DELBIH GARANG 

Maklumat lanjut, sila kunjungi mana-mana bilik pameran Honda, hubungi talian 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my

Google ads
Back to top button