Buletin

BELI CATAMARAN, PERCUMA LAMBORGHINI AVENTADOR SV – HARGA RM9.4 JUTA!

Sebuah laman web lelongan terkenal, JamesEdition di Fort Lauderdale, Florida Amerika Syarikat baru-baru ini menawarkan sebuah Lamborghini Aventador SV. 

Namun, ini bukanlah Lamborghini Aventador SV biasa kerana ia hadir dengan sebuah bot laju catamaran mewah berwarna sedondon iaitu kuning/hijau dikenali sebagai Verde Singh (kenapa nama dia Singh?) yang ditawarkan sekali untuk pembelinya.

Bot MTI G6 sepanjang 52 kaki ini diubah suai pada bahagian dalaman dan luaran menggunakan warna dan material sama dengan supercar terbabit. Ini termasuklah upholsteri kulit Alcantara, kemasan gentian karbon dan sebagainya.

Malah ia juga dilengkapi panel pintu, lampu, stereng dan gear yang sama dengan Aventador. Rangkaian kuasa pula menggunakan khidmat enjin Mercury Racing yang mampu menjana 1,350hp dan perlu menggunakan bahan api khas untuk perlumbaan, 112 AKI. Kuasa itu membolehkan bot tersebut memecut sehingga 290km/j di laut terbuka.

Disifatkan sebagai antara bot paling laju di dunia, ia memiliki sistem bunyi bernilai lebih AS$25,000 (RM107,000). Ia merangkumi fon kepala, pembesar suara dan amplifier Focal. Papan pemukanya meniru Lamborghini SV dan dipasang dengan Carmen GPS.

Catamaran itu mengambil masa selama dua tahun untuk dibina dan menelan belanja sekitar AS$2.35 juta (RM10 juta). Namun begitu, pemilik barunya boleh memiliki bot dan Aventador itu pada harga AS$2.19 juta (RM9.4 juta). Lamborghini Aventador SV tahun 2016 itu sahaja berharga AS$598,000 (RM2.6 juta).

Menurut JamesEdition, kedua-dua harta mewah tersebut terpaksa dijual oleh pemilik asal kerana masalah kewangan. Sebab itulah harganya boleh dikatakan berbaloi untuk dibeli. Harus tahu bahawa ia pernah keluar dalam rancangan televisyen “The Secret Lives of the Super Rich.”

kredit foto: JamesEdition

BACA: KEMALANGAN LAMBORGHINI HURACAN DI CHINA – KE DALAM TIMBUNAN SAMPAH

GALERI 

Google ads
Back to top button