Artikel Pilihan

BELI KERETA TAK SALAH, TAPI JANGAN BELI KERETA YANG SALAH.

Semalam penulis perlu keluar atas urusan kerja dengan menggunakan perkhidmatan seru pandu. Pemandu merupakan seorang anak muda dengan latar belakang pendidikan yang tinggi tapi malangnya pandemik COVID menyebabkan dia terpaksa ditamatkan perkhidmatan. Syarikat tempat dia bekerja tidak lagi mampu menggajikannya maka, jalan terbaik ialah menjadi pemandu seru pandu.

Tambahan pula dia masih perlu membayar komitmen iaitu sebuah kereta jenama tempatan yang dibeli ketika bekerja kerana tuntutan kerja ketika itu memerlukan dia memiliki sebuah kereta. Namun apa yang penulis kesalkan ialah kereta yang dibelinya merupakan varian paling mahal sedangkan gaji permulaannya baru RM 1800.

Mungkin setelah ditolak dengan potongan KWSP, gajinya tinggal sekitar RM 1638 sahaja. Mungkin juga bayaran kereta yang dimilikinya dengan pinjaman 9 tahun dan bayaran muka 10% ialah sekitar RM 557 sebulan. Maka duit gaji yang tinggal ialah sekitar RM 1081 sebulan, sebelum ditolak dengan kos sewa rumah, makan, komunikasi, penyelenggaraan kereta dan sebagainya

Tuan-puan sekalian, apa yang kami nak tekankan ialah membeli kereta adalah tidak salah. Semua orang faham di Malaysia pengangkutan awam tidak semudah seperti negara maju melainkan anda duduk di Lembah Klang. Namun apa yang terjadi ialah kebanyakan pembeli membeli kereta yang salah, di luar kemampuan mereka.

Sebagai contoh di atas, bayaran bulanan kereta sudah mencecah sehingga 34% daripada keseluruhan gaji. Bagi penulis, bayaran bulanan kereta paling ideal ialah sekitar 15-20% sahaja dari gaji bulanan. Makin rendah makin bagus. Jangan risau ada saja kereta baru dengan bayaran bulanan sekitar RM300 ke RM 350 sebulan. Jangan bandingkan apa yang kita mampu bayar dengan saudara mara, kawan-kawan atau adik beradik kita mampu beli.

Kemampuan kewangan kita tidak sama. Sebuah kereta yang pada mulanya dibeli untuk memudahkan urusan pergerakan seharian kita, yang sepatutnya menjadikan kita gembira, yang membolehkan kita membawa ibu bapa menyelesaikan urusan seharian kini menjadi beban kewangan yang agak rumit. Tambahan lagi jika membayar pinjaman dalam tempoh 9 tahun, menjual kereta tersebut dalam 5 tahun pertama akan menyebabkan kita rugi.

Silap haribulan kita perlu topup duit selepas menjual kereta kerana harga jualan tidak mampu menutup jumlah pinjaman. Ini realiti yang berlaku dan tambah kusut lagi kereta tersebut dibeli tanpa bayaran pendahuluan 10%. Bagi penulis sendiri jika tidak mampu membayar pendahuluan antara 10-20% dari harga kereta, maka kereta tersebut akan jadi angan-angan sahaja

Sebab angan-angan tersebut percuma, tak perlu bayar. Bagi kes di atas tadi dia perlu menyediakan wang untuk petrol, penyelenggaraan berkala, cukai jalan, insuran, tayar dan lain-lain kos tersembunyi seperti membayar parkir. Semua kos-kos ini akan merompak kegembiraan anda bila gaji masuk di hujung bulan

Jadi kalau gaji sudah mencecah RM 6000 sebulan, jadi bos atau pengurus kena pakai kereta dengan bayaran bulanan RM 900? Sebenarnya itu terpulang pada keutaamaan kewangan anda. Jika anda matlamat hidup anda adalah untuk tunjuk hebat di depan semua orang, beli saja kereta paling mahal yang anda mampu. Dari jenama Continental sehinggalah jenama Asia, ada banyak pilihan untuk anda show off. Beli Ferrari pun ok.

Habiskan saja sehingga RM 5000 sebulan untuk membayar ansuran kereta jika ia membuatkan anda bahagia. Tak ada masalah, itu duit anda. Namun anda jangan lupa yang anda masih ada tanggungjawab untuk menyediakan nafkah bulanan untuk ibubapa, pada keluarga bagi yang sudah berkahwin, membayar segala keperluan anak-anak (pendidikan & kad perubatan) dan membayar rumah sewa atau ansuran pinjaman perumahan

Tapi percayalah kebahagian memiliki kereta baru ini paling kuat pun adalah dalam 2 3 bulan sahaja. Selepas itu anda akan mula rasa bosan dan berangan untuk menukar kereta lain yang lebih mahal. Ia adalah pusingan kitaran hidup, manusia tak pernah rasa puas dengan apa yang dia ada. Melainkan dia menjadi insan yang bersyukur dengan apa dimiliki

Bagi kes yang lebih teruk, kegagalan anda untuk membayar pinjaman kenderaan 3 bulan berturut-turut menyebabkan pihak bank boleh membuat proses reposition iaitu mengambil semula kereta anda, dan menyimpan kereta di satu tempat selamat untuk ditebus semula. Proses penyimpanan ini bukan percuma dan perlu dibayar. Jika anda gagal menebus kereta dalam satu tempoh masa, kereta ini akan dilelong

Selesai sahaja lelong, nilai jualan akan digunakan untuk menutup hutang anda dengan bank. Kalau kereta anda gagal terjual pada cubaan pertama, harga kereta akan direndahkan 10% bagi lelongan ke 2. Duit dari hasil lelongan tadi akan digunakan untuk menutup pinjaman kenderaan anda. Kalau tak cukup, anda kena bayar lagi bagi menyelesaikan pinjaman anda.

Jadi sekali lagi kami ingatkan, beli kereta yang betul dengan kemampuan anda ketika itu. Jangan silap beli kereta, pening anda nanti. Bagi pembaca yang ada masalah pembayaran kenderaan disebabkan isu COVID 19, bincang elok elok dengan bank. Gunakan apa sahaja peluang yang bank sediakan kerana bank akan cuba elakkan situasi Non Performing Loan negara menjadi semakin buruk.

Kami doakan agar semua pembaca Mekanika yang menghadapi masalah kewangan disebabkan isu COVID 19 ketika ini agar dipermudahkan urusan.

Google ads
Back to top button