Motosikal

‘ROY’ GILA-GILA REMAJA KEMBALI BERAKSI BERSAMA SCRAMBLER HONDA CRF 250L. BIKIN REMAKE KE?

Pelakon Faizal Hussein menunjukkan ‘aksi’ bersama jentera Scrambler Honda CRF 250L melalui saluran YouTube.

Pemilik Honda CRF 250L itu bukan membikin ‘remake’ filem popular Gila-Gila Remaja tetapi memperkenalkan episod pertama saluran YouTube miliknya yang dilancarkan menggunakan namanya sendiri.

“Sebelum ini banyak peminat yang tanya berkenaan YouTube saya dan boleh dikatakan semua orang ada saluran YouTube sendiri sekarang. Apabila difikirkan perkara ini dan tengok pelakon Pekin Ibrahim sudah buat, saya akhirnya terdetik nak buat saluran sendiri.

“Malah sebenarnya Pekin dah lama paksa saya buat sedangkan saya dikira agak malas sikit untuk melakukannya,” katanya.

Faizal tidak menolak kewujudan YouTube sendiri boleh menambah sumber pendapatannya.

“Sebelum ini saya berasa agak remeh untuk buat sendiri. Ibaratnya seperti hidung tak mancung pipi tersorong-sorong kerana bimbang orang tak peduli. Sekarang kalau tengok apa yang kita boleh dapat dari YouTube, rasanya tak salah artis Malaysia buat saluran sendiri.

 “Artis Hollywood kalau sudah jadi artis mungkin dia tak buat saluran YouTube kerana gaji sebagai pelakon di sana melebihi pendapatan yang didapati dari YouTube. Tapi kalau di Malaysia, pendapatan gaji paling tinggi boleh diperolehi menerusi Youtube berbanding dari lakonan,” katanya.

Menurut Faizal, dia tidak mengharapkan pulangan secara drastik kerana memerlukan masa untuk peminat mengetahui kewujudan YouTubenya.

 “Kandungan YouTube saya akan diisi dengan minat saya pada kenderaan bermotor, namun akan diselang selikan juga berkenaan keluarga dan pelbagai lagi.

“Saya dibantu oleh Pekin, Nizam Black dan Atan Sagat. Mereka dah ada saluran YouTube sendiri yang sangat sukses. Mereka termasuk Mona Allen juga rakan kongsi saya yang akan bantu promosi saluran YouTube saya. 

“Dengan adanya saluran ini, saya juga boleh bantu peniaga-peniaga kecil untuk reviu produk mereka,” katanya. – HM

Google ads
Back to top button