TAK PAKAI HELMET, HINA GURU. JPJ AMBIL TINDAKAN KE ATAS PEMILIK MOTOSIKAL
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dilapor telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap seorang pemilik motosikal, selepas gambar penunggang dan pembonceng yang tidak memaki topi keledar menjadi tular di media sosial semalam.
Gambar berkenaan menjadi tular kerana baju seragam sekolah yang dipakai oleh pembonceng itu diconteng dengan tulisan berunsur lucah yang mempersendakan guru.
Tindakan biadap itu pantas mendapat kecaman ramai pengguna laman media sosial sehinggakan gambar itu mencatat hampir 9,000 perkongsian.
Pengarah JPJ Kelantan Hanif Yusabra Yusuf berkata pihaknya telah mengeluarkan notis temu siasat di bawah seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik motosikal tersebut.
Menurut Hanif, menunggang dan membonceng motosikal tanpa memakai topi keledar adalah satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah kaedah 4 Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973.
Bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan pula, ia boleh diambil tindakan di bawah kaedah 6 Kaedah- Kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum mengikut seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan,” katanya dalam kenyataan. – Bernama