Buletin

BERTUMBUK KERANA TAK BAGI MOTOR JALAN

Gara-gara enggan mengetepikan kereta ketika jalan sesak, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta bertumbuk di Persiaran Kerjaya Glenmarie Seksyen U1, Shah Alam kelmarin. Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 petang ketika laluan tersebut sesak.

Insiden berkenaan tular menerusi video berdurasi 22 saat di laman Twitter dengan kedua-dua mereka berbalas tumbukan sebelum dileraikan oleh pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran mulut apabila suspek lelaki berusia 29 tahun yang menaiki MPV Naza Ria enggan menggerakkan keretanya ke tepi di lokasi kejadian.

Sikapnya itu menyebabkan motosikal yang ditunggangi mangsa berusia 31 tahun yang bekerja sebagai jururunding dan penunggang motosikal yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan.

“Pertengkaran mulut yang berlaku disusuli dengan pergaduhan yang akhirnya dileraikan oleh orang ramai. Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk selesaikan secara baik dan pengadu hanya buat ‘Covering report’ sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua pihak iaitu pengadu dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mohd. Iqbal turut menjelaskan pengadu juga telah buat laporan polis untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button