Artikel Pilihan

CHARGE CARS PERKENALKAN ‘ELEANOR’ BERKUASA ELEKTRIK – KARAN HABIH GU

Charge Cars merupakan sebuah syarikat British yang bertanggungjawab memberi nafas baharu kepada Ford Mustang Fastback 1967. Alah, yang kita kenal dengan nama Eleanor dalam filem Gone in Sixty Seconds tu. Ya kini ia muncul kembali tetapi dengan berkuasa elektrik. Tak payah dah pergi stesen minyak lepas ni.

Ia dibangunkan di Britain dan kini mereka bersedia untuk membawanya kembali ke AS untuk meluaskan lagi pasaran. Mustang 67 keluaran Charge Cars ini mula didedahkan pada bulan Mac tahun ini dan akan dihadkan pengeluaran kepada 499 unit sahaja. Kenapa la tak cukup kan 500? Ke strategi pemasaran ala kedai kopi moden sekarang eh?

Ia akan membuat kemunculan pertama di AS pada bulan Oktober ini dan bertempat di Petersen Automotive Musem sebelum dibawa ke beberapa acara permotoran lain di AS. Akhir sekali ia akan dipamerkan di Los Angeles Auto Show pertengahan November tahun ini.

CEO Charge Cars, Vadim Shagaleev berkata mereka cukup teruja untuk menyambut pelancaran Charge 67 di AS bersama dengan rakan kongsi mereka di sana. AS merupakan destinasi yang ideal untuk memperkenalkan teknologi dan rekaan mereka. Memanglah kalau dah Mustang 67 tu pun berasal dari sana.

Sewaktu menghasilkan Mustang berkuasa elektrik ini, Charge Cars mengekalkan rekaan klasik asal kereta ini. Malah mereka juga menggunakan casis asal Mustang 67 yang dilesenkan kepada mereka.

Biarpun kelihatan sama seperti model asal, bahagian luarannya kini lebih mengancam dan moden dengan penggunaan lampu-lampu hadapan dan belakang LED. Pembuka pintunya juga jenis terbenam ala Range Rover selain penggunaan rim yang menonjol dan gril hadapan yang bertutup sepenuhnya. Ye lah, ini kereta elektrik tak payah nak bergril krom bagai. Panel badan pula dihasilkan daripada bahan komposit agar lebih ringan.

Macam mana dengan kuasa? Boleh lawan Mustang asal tak? Lebih baik sebenarnya kerana ia kini  mempunyai kuasa maksima 536 hp dan tork maksima setinggi 1,500 Nm. Ambik kau.

Menurut Charge Cars, pecutan 0-100 km/j hanya mengambil masa 3.99 saat dan satu cas penuh mampu membawa Eleanor ini bergerak sejauh 322 kilometer. Boleh sangat nak balik Mentakab ni. Menggunakan pengecas pantas DC hanya satu jam diperlukan untuk mengecas 80 peratus bateri.

Berbeza dari bahagian luar, dalaman Charge 67 ni memang langsung tak sama dengan Mustang Fastback asal. Kini ia mempunyai paparan instrumentasi digital, skrin infotainment besar bentuk menegak ala Tesla, roda stereng tiga jejari, sistem pengecas telefon wireless dan sistem pengawasan tekanan angin tayar. Kemasan kulit tu pun nampak high-end bukan kulit hitam seperti kebiasaan musle car klasik.

Google ads
Back to top button