" "
Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: KERETA KESELAMATAN FIA F1

Sewaktu era enjin V12 dan V10 digunakan dalam perlumbaan F1, salah satu perkara yang menarik perhatian penulis ialah kehadiran safety car atau kereta keselamatan yang digunakan untuk mengawal perlumbaan F1 sekiranya kemalangan atau keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Perlumbaan tidak akan dihentikan, tapi kereta keselamatan akan masuk bagi mengawal perjalanan perlumbaan atas arahan pengarah perlumbaan.

Cara mereka bekerja ialah seperti marsyal ataupun polis yang mengawal lalu lintas. Keadaan ini membolehkan pasukan kecemasan dan pasukan keselamatan bertindak masuk mengalihkan jentera F1 yang mengalami kemalangan, pemandu yang tercedera ataupun serpihan komponen jentera F1 yang berterabur di atas trek perlumbaan daripada dilanggar oleh pelumba lain.

21.03.2018 – Bernd Maylander (GER) FIA Safety Car Driver

Pemandu kereta keselamatan buat masa sekarang ialah Bernd Maylander iaitu seorang bekas pelumba Le Mans 24 Hours yang berasal daripada Jerman. Karier Bernd bermula semenjak tahun 2000 sehinggalah 2019. Walaupun anda seorang juara dunia sekalipun, jika Bernd mula memandu masuk dengan jenter Mercedes AMG anda harus mematuhi semua arahan Bernd bagi memastikan keselamatan dalam perlumbaan F1.

Mulai tahun 1996, Mercedez Benz telah dipilih sebagai kereta keselamatan rasmi untuk perlumbaan F1. Namun sebelum daripada itu, Porsche 911 GT2, Honda Prelude, Ford Escort RS Cosworth dan Lamborghini Diablo pernah digunakan sebagai kereta keselamatan . AMG mulai membekalkan jentera mereka sebagai kereta keselamatan rasmi F1 bermula musim 1996.

Ia dimulai dengan CLK 55 AMG, CL 55 AMG, SL 55 AMG, CLK 63 AMG, dan juga SLS AMG. Untuk musim 2019, Mercedes AMG GT R telah dipilih sebagai kereta keselamatan bagi perlumbaan F1. Kereta ini dikuasakan dengan enjin 3,982cc yang mampu menghasilkan 585 kuasa kuda pada 6250 RPM dan 700Nm tork. Ini membolehkan AMG GT R memecut dari keadaan pegun ke 100km/j dalam masa 3.6 saat dan mencapai halaju maksima 318km/j. Oh ya enjin kereta ini dipasang dengan konfigurasi V8 turbo berkembar

Versi GT R ini sebenarnya hanya memerlukan sedikit sahaja modifikasi untuk membolehkan ia bertugas sebagai polis trafik di litar. Roll Cage telahpun dipasang siap dari kilang pemasangan dan juga sistem aerodinamik aktif membantu kereta ini mengejar jentera F1 di litar. Front Wing dan Rear Wing yang dipasang membolehkan downforce dihasilkan ketika kereta keselamatan memasuki selekoh pada kelajuan tinggi

Mercedes-AMG GT R Official F1 Safety Car 2018 Mercedes-AMG GT R Official F1 Safety Car 2018

Kereta keselamatan juga menggunakan brek seramik prestasi tinggi yang lebih tahan lama, tahan panas, lebih ringan dan mempunyai kesan brake fade yang minima. Sistem aerodinamik aktif pada bahagian depan, bawah, dan juga diffuser pada bahagian belakang meningkatkan kecekapan aerodinamik serta menghasilkan cengkaman yang optima pada kereta.

Kereta keselamatan juga dipasang dengan sistem stering tayar belakang aktif, sistem ESC 9 tetapan, dan juga sistem suspensi boleh laras dengan kawalan elektronik. Semua ini bagi memastikan GT R berupaya mengawal perlumbaan ketika kecemasan , menghalang tayar dan enjin dari menjadi terlampau sejuk dan juga terlampau panas.

Di bahagian atas bumbung terdapat beacon lights atau lampu isyarat yang berwarna jingga dan juga satu lagi lampu isyarat yang berwarna hijau. Terdapat satu alat pengesan yang dipasang pada bahagian bumbung untuk marshaling system. Sistem ini akan menghantar isyarat kepada pemandu F1 berkenaan status perlumbaan samaada bendera kuning atau hijau yang digunakan.

Terdapat satu antena radio untuk Bernd dan juga Richard Darker berkomunikasi dengan pusat kawalan perlumbaan dan pengarah perlumbaan yang dipasang di bahagian belakang. AMG GT R masih mengekalkan papan pemuka asal yang mewah namun beberapa perunbahan telah dibuat bagi membolehkan pemandu dan pembantu pemandu menjalankan tugas. Ini termasuklah:

1. Lampu LED yang dipasang pada papan pemukaakan menyala sebaik sahaja marshaling system dihidupkan

2. Suis kawalan sistem cengkaman yang boleh diubah oleh Bernd samaada secara maksima ataupun minima bergantung pada permukaan jalan dan kelajuan kereta

3. Skrin paparan maklumat yang pertama akan digunakan untuk memantau suhu enjin, suhu transmisi kereta dan pelbagai maklumat berkenaan sistem kereta

4. 2 Skrin tambahan akan dipasang untuk dipantau oleh pembantu pemandu iaitu Richard Darker. Skrin ini akan memaparkan lintas langsung perlumbaan daripada kamera yang dipasang di sekeliling litar, masa terpantas yang dilakukan, dan juga amaran perlanggaran pada selekoh jika pengesan menerima maklumat terdapat impak melebihi 20G dikesan

5. 2 butang radio komunikasi yang digunakan oleh Darker. Satu sistem radio yang sedia digunakan dan satu lagi sistem radio tambahan. Semua komunikasi safety car dengan pengarah perlumbaan akan dikawal oleh Darker

6. Butang lampu amaran yang akan menyala mengikut arahan pemandu. Butang berwarna perak akan menghidupkan lampu amaran dengan berkelip, butang jingga untuk lampu amaran kuning menyala, dan butang lampu hijau apabila Bernd membenarkan pelumba F1 memotong safety car

7. Semua lampu ini akan menyalakan lampu khas LED yang dipasang di atas papan pemuka GT R. Samaada lampu perak, jingga, dan juga hijau jika pelumba F1 dibenarkan memotong

8. Cermin pandang belakang digantikan dengan paparan skrin yang menerima suapan daripada 2 kamera yang dipasang di bawah GT Wing belakang. Satu kamera akan fokus pada bahagian kanan dan satu lagi akan fokus di bahagian kiri.

9. Ruang kargo belakang pula akan dimuatkan dengan pelbagai peralatan seperti Unit Telemetri, Kamera Rakaman Kereta, Perekod Data Kereta, Unit Kawalan Siren, Marshaling System, Router WiFi, Unit FIA SDR, dan juga sistem komunikasi radio.

Google ads
Back to top button