Artikel Pilihan

BILA MASA YANG SESUAI UNTUK GUNAKAN MODE ECO?

Kebanyakan kereta moden yang dijual di Malaysia pada hari ini datang dengan pelbagai mode pemanduan. Mode tersebut ialah Eco, Normal dan juga Sport. Dalam mode sport atau Power yang digunakan oleh Perodua Ativa, enjin dan transmisi akan ditala supaya menjadi lebih agresif dengan mengubah pemasaan enjin dan ratio gear

Anda juga boleh jumpa mode Power/Sport ini pada Proton X70, Proton X50, dan juga Toyota Vios. Tapi bukan sepanjng masa anda nak guna mode ini kerana kelemahan mode ini ialah ia akan meningkatkan penggunaan petrol. Jadi terdapat satu lagi mode yang diperkenalkan iaitu Eco mode

Eco mode atau Mode Ekonomi jika diaktifkan akan menyebabkan Engine Contol Module diselaraskan untuk penggunaan bahan api yang paling jimat dan paling optimum. Unit ECM akan mengawal parameter operasi enjin, kotak gear dan juga pemampat penyaman udara beroperasi dalam keadaan minimum.

Respon enjin akan menjadi lebih perlahan di mana RPM enjin akan naik secara tenang dan biasanya kuasa enjin akan berkurang daripada Mode Comfort. Malah kuasa pecutan enjin akan berkurang dan menyebabkan sesetengah pemandu menjadi kurang selesa. terutama jika memandu di kawasan bandar

Pemandu juga akan dapat rasa penukaran gear akan dibuat lebih awal daripada biasa dan unit ECM akan memastikan gear tertinggi sentiasa digunakan. Bagi mendapatkan lebih penjimatan bahan api, sesetengah pengeluar akan mengurangkan beban pada pemampat penyaman udara agar “parasitic load” akan dikurangkan

Dari segi teori, semua pendekatan ini akan membuatkan kenderaan anda semakin menjimatkan bahan api mungkin dalam julat 5-7% lebih jimat berbanding dengan biasa dan membolehkan kereta dipandu dengan jarak yang lebih jauh dengan seliter minyak.

Namun sesetengah pemandu tidak suka menggunakan Eco mode ini disebabkan oleh:

1. Ia akan menyebabkan penyaman udara kurang sejuk dan kurang sesuai digunakan sekiranya memandu dalam cuaca terlampau panas.

2. Pecutan kereta semakin kurang pikap disebabkan transmisi sentiasa berada pada gear tinggi dan pemasaan enjin sentiasa berada dalam keadaan menjimatkan sepanjang masa. Kalau tekan pedal minyak, enjin terasa lemau berbanding biasa

3. Disebabkan dinamik pecutan kereta sudah berubah, maka pemandu gagal menganggarkan pecutan kereta sewaktu memecut masuk ke lebuhraya atau jalan utama daripada simpang jalan. Keadaan ini sebenarnya menjadi risiko kemalangan

4. Disebabkan pecutan dan prestasi enjin terasa lemau, maka pemandu cenderung untuk menekan pedal minyak dengan lebih agresif bagi menghasilkan pemanduan yang lebih lancar. Keadaan ini sedikit sebanyak meningkatkan penggunaan bahan api.

Hasilnya ialah ramai pemandu memberi komen Eco Mode tidak berkesan, enjin terasa lemau dan menyebabkan penggunaan bahan api meningkat. Keadaan ini menyebabkan tidak ramai pemandu menggunakan Eco Mode ketika memandu dan kekal menggunakan mode biasa.

Berdasarkan pengalaman pandu uji penulis, Eco Mode paling sesuai digunakan ketika anda memandu di lebuh raya yang lurus, di laluan yang landai, dengan halaju antara 90-100km/j setelah anda keluar dari kawasan bandar dengan trafik yang sibuk

Dengan halaju antara 90-100km/j di lebuh raya, anda tidak banyak memerlukan kuasa enjin bagi mengekalkan halaju. Malah pada ketika ini, kesan aerodinamik angin pada kenderaan anda adalah minima atau hampir tiada. Maka dengan penggunaan Eco Mode pada ketika ini, penggunaan bahan api boleh dijimatkan lagi

Sebaik sahaja memasuki semula jalanraya di sekitar bandar, penulis akan menukar semula Eco Mode kepada Normal Mode. Bagi kereta penulis, Normal Mode akan digunakan sebaik sahaja fungsi Eco Mode dimatikan. Tapi itulah, kena rajin tekan tekan butang. Kalau malas biar sahaja dalam Normal Mode.

Google ads
Back to top button