BILIONAIR KEDEKUT DIKECAM MOHON DANA KERAJAAN UNTUK BAYAR GAJI PEKERJA
Beberapa orang usahawan bertaraf selebriti Britain dikecam teruk kerana dilapor bergantung kepada dana kerajaan untuk membayar gaji pekerja mereka.
Pandemik COVID-19 dan pelaksanaan perintah berkurung membuatkan ramai usahawan hilang mata pencarian. Ini menyebabkan ada golongan kaya-raya juga bercadang untuk ‘tutup kedai’.
Tetapi bagi yang masih ada semangat, mereka memilih untuk mengambil pendekatan melepaskan sementara (furlough) pekerja masing-masing.
Akibat tidak sanggup menanggung beban pembayaran gaji dari poket sendiri, golongan ultra kaya dikecam sebagai kedekut. Sedangkan mereka memiliki kekayaan peribadi bernilai beratus juta Pound Sterling.
Pemilik syarikat penerbangan Virgin Atlantic, Sir Richard Branson dikatakan memohon bantuan dana kerajaan. Dikenali sebagai usahawan, pelabur dan dermawan, Branson mempunyai harta peribadi bernilai lebih RM18.3 bilion.
Dia dikecam hebat kerana memohon pinjaman sebanyak RM2.7 bilion daripada kerajaan Great Britain dengan menawarkan Pulau Necker di Laut Caribbean miliknya sebagai cagaran.
Ramai yang mempertikaikan niatnya kerana pulau itu hanya bernilai RM540 juta! Lebih-lebih lagi, sebagai pemastautin Pulau Necker, Branson tidak membayar cukai kepada Britain sejak sekian lama.
Tetapi, apabila ditimpa bencana, Branson dengan muka tak malu memohon bantuan dana dari negara asalnya.
Selain Branson, pereka fesyen Stella McCartney dan rakan rapatnya Victoria Beckham juga memilih untuk memberhentikan pekerja mereka buat sementara waktu.
Victoria yang merupakan bekas ahli kumpulan Spice Girls menceburi bidang fesyen dan suaminya David Beckham, bekas bintang bol sepak pasukan bolasepak Manchester United dan England dilapor mempunyai harta terkumpul bernilai lebih dari RM1.9 bilion.
Namun, seramai 30 pekerja syarikatnya, Victoria Beckham Limited (VBL), terpaksa dilepaskan sementara dan bergantung pendapatan daripada skim anjuran kerajaan. VBL dikatakan gagal mencatat untung sepanjang 10 tahun beroperasi sejak ditubuhkan pada tahun 2008.
Stella McCartney pula menjana pendapatan hampir RM2.7 bilion  setahun dari perniagaan fesyennya. Kekayaan peribadi anak perempuan bekas anggota kumpulan Beatles, Paul McCartney itu berjumlah lebih dari RM323 juta.
Stella memilih untuk memanfaatkan skim pengekalan kerja ini melibatkan hampir separuh dari 1,400 tenaga pekerja syarikatnya.
Terdahulu, kerajaan Britain menyediakan bantuan dalam bentuk dana berjumlah RM215 bilion untuk tiga bulan pembayaran gaji bermula hujung April.