Buletin

VINFAST MAHU MASUK PASARAN AMERIKA 2021. SANGGUP BELANJA DUIT SENDIRI RM8.2 BILION

Vietnam bukanlah negara yang kita fikir jika bercakap tentang pengilangan kereta. Tetapi, orang paling kaya Vietnam, Phan Nhat Vuong berharap dapat menukar persepsi itu menerusi syarikatnya Vinfast.

Sejak beberapa tahun lalu, jenama Vinfast dilihat terus berkembang dan sudahpun memulakan tiga kenderaan yang terdiri daripada sebuah hatchback, sedan dan SUV. Vinfast juga dilapor sedang sibuk membangunkan kereta elektriknya sendiri.

Namun, itu bukanlah impian tertinggi Vuong. Sebaliknya, bilionair itu mahu memasuki pasaran Amerika menjelang tahun 2021.

Memetik laporan Bloomberg, Vuong yang memiliki kekayaan lebih AS$9 bilion (RM37 bilion) akan membelanjakan sebanyak AS$2 bilion (RM8.2 bilion) daripada duitnya sendiri bagi memastikan Vinfast berjaya di pasaran AS.

“Matlamat utama kami adalah menghasilkan satu jenama antarabangsa. Pastinya ia jalan yang sangat sukar dan kami sedang bekerja keras,” kata Vuong di ibu pejabatnya, Vingroup JSC.

Vuong meletakkan sasaran untuk melancarkan kenderaannya di AS walaupun masih belum ada syarikat yang berminat, memandangkan Vinfast tidak menjangka membuat untung sekurangnya-kurangnya selama lima tahun.

Apatah lagi Vinfast akan menjual tiga model baharunya di bawah kos. Justeru, Vingroup terpaksa membelanjakan AS$777 juta (RM3.2 bilion) dalam tempoh beberapa tahun untuk menanggung kerugian Vinfast.

Vuong percaya untuk berjaya, Vinfast perlu melangkaui sempadan Vietnam kerana pasaran tempatan terlalu kecil. Jadi, ia perlu masuk ke pasaran AS sebelum diikuti oleh Eropah dan Rusia.  

“Kami mahu membina satu jenama Vietnam yang memiliki reputasi bertaraf dunia. Cabaran utama kami ialah produk Vietnam tidak mempunyai jenama antarabangsa. Vietnam juga masih sebuah negara yang miskin dan kebelakang.

“Jadi, kami akan mencari jalan untuk memasar dan membuktikan produk kami mewakili Vietnam yang dinamik dan membangun, serta mencapai standard paling tinggi di dunia,” kata Vuong.

Tags
Google ads
Back to top button