
BIMS 2024: MOTOSIKAL ELEKTRIK INI MAMPU JALAN SEJAUH 720KM
Felo mencuri tumpuan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024 apabila mendedahkan model konsep motosikal elektrik yang berkonsepkan ‘grand tourer’ yang diberi nama TOOZ.
Menurut jenama motosikal elektrik itu, TOOZ merupakan motosikal elektrik terbesar pernah dihasilkan dan mampu bergerak sejauh 720 kilometer bagi setiap cas penuh.

Rupa bentuk yang besar itu disumbangkan penggunaan bateri yang besar (bateri 35kwh 700V 50 Ah) berbanding kebanyakan motosikal EV yang ada dalam pasaran. Menurut Felo, selain mampu mencapai jarak pergerakan lebih 700km, TOOZ juga mampu mencapai kelajuan maksima sekitar 200km/j.
Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah kelengkapan yang ditawarkan termasuk panel meter TFT 12-inci dan sistem pembesar suara 6-saluran.

Menurut Felo, panel meter TFT itu (selain boleh disambungkan ke telefon pintar) turut menawarkan fungsi navigasi dan sistem kamera 360-darjah. Selain itu, turut ditawarkan fungsi TPMS, ABS dan sistem ‘traction control’.
Atas kertas, Felo TOOZ ini juga menyokong pengecasan TYPE2 (hanya memerlukan masa 20 minit untuk cas dari 20 hingga 80 peratus). Selain itu, Felo turut menawarkan ‘cooling box’ berkapasiti 8-liter yang boleh dipasang pada salah satu ‘pannier’s.

Tidak cukup dengan itu, TOOZ juga menawarkan teknologi V2L yang bermakna anda boleh menggunakan bateri pada motosikal tersebut untuk menyalur kuasa pada kelengkapan elektrik lain.