
KAMI TIDAK BERCADANG AMBIL DOVI UNTUK MUSIM 2021 – RAZLAN
Bos pasukan Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali menegaskan bahawa pihaknya langsung tidak bercadang untuk mengambil pelumba Ducati, Andrea Dovizioso bagi menggantikan Fabio Quartararo.
Kenyataan itu menamatkan terus khabar angin yang menyatakan pasukan satelit itu sedang berkira-kira untuk mendapatkan khidmat pelumba Itali berkenaan bagi menghadapi musim 2021.
Khabar angin tersebut timbul ketika ramai yang sudah tidak sabar untuk mendengar pengumuman lagenda MotoGP, Valentino Rossi mengenai masa depannya.
Ada pihak mendakwa kelewatan itu bukan sekadar rundingan dan kertas kerja untuk mengikat Rossi, Yamaha dan Petronas sahaja. Malah ia turut melibatkan kemungkinan Rossi mahu bersara.
Sebab itulah timbul pula watak Dovizioso yang sudahpun mengumumkan bahawa dia akan meninggalkan pasukan Ducati pada hujung tahun ini. Pengurusnya, Simone Battiestella memberitahu masih belum ada berita tentang perancangan Dovi untuk tahun 2021.
“Bagi menjelaskan keadaan, kami langsung tidak bercadang mengambil Dovi untuk musim 2021,” tulis Razlan dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Sebelum ini, Rossi menyatakan dia 99 peratus yakin akan berlumba untuk pasukan Yamaha SRT tahun depan. Jika benar, ini bermakna juara dunia sembilan kali itu akan terus mengikat kontrak dengan Yamaha, cuma ditempatkan bersama pasukan SRT.
Untuk merealisaikannya, kontrak tiga hala perlu dipersetujui oleh pihak di Jepun, Itali dan Malaysia. Itulah yang menjadi penyebab kenapa proses tersebut lambat, jelas Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis. Berapa ramai krew Rossi yang akan mengikunya ke pasukan Yamaha SRT juga masih belum dapat dipastikan.
Rossi pasti akan ditanya pada perlumbaan hujung minggu ini di Misano. Pandai-pandai la kau konar Rossi. hahaha.