Buletin

BINA TUGU GUNA 334 EKZOS MOTOSIKAL TAK IKUT SPESIFIKASI

Sebanyak 334 ekzos motosikal yang tidak mengikut piawaian dirampas sejak Mac lalu dibangunkan menjadi tugu oleh Unit Polis Trafik Serang, daerah Banten, Indonesia.

Monumen berkenaan didirikan di hadapan stesen polis Serang yang terletak di Kampung Cisait Muncang, Serang, mengambil masa empat hari untuk disiapkan bermula 12 hingga 16 April lalu. 

Ia didirikan untuk memberi peringatan kepada masyarakat agar jangan menggunakan ekzos yang tidak menepati piawaian.

Selain itu, unit trafik tersebut berharap ia memberi kesedaran kepada pemandu yang menggunakan ekzos tersebut bahawa ia mengganggu ketenteraman orang awam.

“Tujuan tugu ini dibina ialah untuk mengingatkan orang ramai agar sentiasa menggunakan ekzos yang mematuhi standard,” kata Ketua Unit Trafik Serang, Mariyono. 

Pihak polis juga menjalankan Operasi Keselamatan Maung 2021 yang bermula daripada 12 April hingga 25 April depan.

Maung 2021 bertujuan untuk mencegah penggunaan aksesori kenderaan yang tidak mematuhi piawaian dan memberikan maklumat kepada masyarakat untuk sentiasa mengutamakan keselamatan. -agensi

Google ads
Back to top button