Motosikal

EKZOS BISING PALING BANYAK KENA SAMAN

Pemilik motosikal berkapasiti antara 90 hingga 250cc merupakan antara penyumbang paling tinggi dalam pengubahsuaian ekzos hingga merekodkan sebanyak 2,699 saman dalam tempoh sebulan pada Mac lalu.

Timbalan Pengarah I (Pe­nguatkuasaan, Kawalan Lalu lintas, Pengurusan Saman), JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, berbeza de­ngan pemilik motosikal berkapasiti lebih 500cc yang merekodkan sekitar 82 saman bagi kesalahan yang sama.

Katanya, begitu juga dengan pemilik motosikal berkapasiti 250 hingga 499cc yang menca­tatkan 67 saman iaitu yang te­rendah antara tiga jenis kapasiti tersebut.

“Berdasarkan rekod, motosikal menjadi penyumbang utama kepada kesalahan ubah suai ekzos dalam tempoh sebulan bermula 1 hingga 31 Mac lalu.

“Sepanjang tempoh itu, seba­nyak sebanyak 4,926 saman telah dikeluarkan terhadap pemilik motosikal berbanding kereta iaitu 1,627 saman,” katanya.

Tambahnya, tindakan saman boleh dilakukan menerusi beberapa kaedah antaranya setiap pengubahsuaian kenderaan termasuk ekzos adalah tertakluk kepada peruntukan di bawah kaedah 9A LN 170/59-Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959.

Menurut Mohd. Nadzri, polis juga boleh menyita kenderaan mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Selain itu, penahanan juga boleh dibuat melalui Seksyen 64 (4) APJ 1987, sekiranya kenderaan tersebut tidak dituntut dalam tempoh tiga bulan dari tempoh penahanannya, rampasan tersebut boleh dirujuk kepada majistret untuk melucutkan hak dan pelupusan,” ujarnya. – KOSMO!

Google ads
Back to top button