Buletin

CROSSOVER EV PERTAMA HUAWEI DIKENALI SEBAGAI SF5.HARGA BERMULA RM137,376

Syarikat gergasi pengeluar telefon pintar, Huawei mendedahkan kenderaan pertama yang dikenali sebagai SF5.

Model crossover EV berkenaan dibikin bersama Cyrus yang akan dijual menggunakan jenama Seres.

Seres SF5 hadir dengan ukuran panjang 4,700 mm, lebar 1,930 mm, ketinggian 1,625 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,875 mm.

Jentera elektrik berkenaan menampilkan rekaan lampu utama dan gril dipadankan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang memanjang ke bahagian bampar kenderaan.

Model itu turut memiliki rekaan badan menarik, handel pintu dipasang dengan rata dan rumah hijau yang padat.

Ruang kabin Seres SF5 pula didatangkan skrin paparan kluster instrumen yang terletak di belakang roda stereng dua jejari.

Selain itu, ia mendapat kemasan trim kayu, aksen metalik, penukar gear rotari,  sistem pencahayaan ambien, tempat duduk dengan fungsi ventilasi, pemanas dan urut.

Berikutan model terbaharu itu ada kaitan dengan Huawei tidak hairanlah ia dilengkapi sistem infotainment terkini.

Ia mampu disambungkan dengan peranti pintar dalam tempoh beberapa saat sahaja, memuat kandungan muzik dan informasi navigasi antara kedua-dua peranti.

SF5 didatangkan bersama teknologi pengenalan suara dan sistem audio dengan 11 pembesar suara serta dua subwoofer.

Para jurutera turut memberikan tumpuan kepada aspek pengurangan kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH), seperti penggunaan kaca hadapan dwi-lapisan dan bahan penyerap bunyi.

Pengeluar mendakwa ruang kabin mencapai kadar kebisingan serendah 38 dB sahaja.

Seres SF5 mendapat khidmat enjin 1.5 liter dan dua motor elektrik yang berupaya menghasilkan 543 hp dan 820 Nm.

Crossover itu boleh memecut dari 0-100 km/j dalam tempoh 4.7 saat.

Terima kasih kepada trenkuasa range-extender, Seres SF5 boleh bergerak sejauh 180 km sahaja menggunakan tenaga elektrik, dan mampu mencapai jarak sehingga 1,000 km secara keseluruhan.

Huawei Seres SF5 kini dipamerkan pada Shanghai Auto Show dan harga bermula dari ¥216,800 (RM137,376).- carscoops

GALERI:

Google ads
Back to top button