
BMW 7 SERIES – BERMULA RM598,800!
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW 7 Series serba baharu. Sudah memasuki generasi keenam, BMW 7 Series serba baharu menawarkankan pengalaman pemanduan yang mewah dan eksklusif.
Dengan kejayaan merintis inovasi selama hampir 40 tahun dalam segmen premium, BMW 7 Series sekali lagi menghasilkan perubahan besar.
“BMW Group meraikan Ulang Tahun ke-100 pada tahun 2016. Jadi, kami akan memulakan sambutan pada tahun ini menerusi BMW 7 Series harga istimewa. Terhad kepada kereta yang didaftarkan pada tahun ini sahaja,” kata Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun.
Didatangkan dalam dua varian iaitu BMW 740Li dan BMW 730Li, sedan ini ditawarkan pada harga RM698,800 dan RM888,800 seunit bersama harga istimewa sebanyak RM100,000 sempena ulang tahun ke-100 BMW Group.
BMW 7 Series serba baharu lebih panjang iaitu 5,238 milimeter (mm) berbanding generasi sebelum ini 5,219 mm (+ 19mm). Namun begitu, dimensi lain seperti lebar, tinggi dan tapak roda tidak berubah.
Ia menjadi kereta pertama BMW yang dilengkapi lampu utama lazer BMW. Ia boleh dikenal pasti melalui bar horizontal berwarna biru. Dipasang pada varian BMW 740Li serba baharu, lampu lazer BMW mempunyai mode lampu tinggi sejauh 600 meter – dua kali lebih jauh berbanding lampu LED.
Jentera ini juga dipasang dengan sistem Active Air Stream yang hanya dibuka sekiranya penyejukan udara diperlukan.
BMW 740Li dijana oleh enjin petrol enam silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran tiga liter generasi terkini daripada rangkaian enjin BMW EfficientDynamics.
Dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan Setptronic yang telah dioptimumkan, ia mampu menjana kuasa maksimum 326hp, tork setinggi 450Nm dan pecutan dari 0 hingga 100km/j dalam masa hanya 5.5 saat.
Purata penggunaan bahan api BMW 740Li adalah sekitar 6.6 liter untuk setiap 100km dengan emisi C02 154 gram bagi setiap kilometer.
BMW 730Li pula dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder sebaris BMW TwinPower Turbo bersesaran dua liter. Enjin itu berupaya menghasilkan kuasa mencecah 258hp dan tork 400Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 6.3 saat sahaja. Bacaan penggunaan bahan api adalah 5.8 liter bagi setiap 100 kilometer, manakala tahap emisi C02 pula ialah 134 gram untuk setiap kilometer.
Struktur badan BMW 7 Series dibina menggunakan Carbon Core. Sebagai sebahagian daripada konsep BMW EfficientLightweight, BMW 7 Series merupakan kereta pertama dalam segmennya yang menggunakan Carbon-Fibre-Reinforced Plastic (CFRP).
Di bahagian kabin pemandu boleh mengharapkan satu pengalaman operasi yang baru.
Selain operasi biasa menggunakan iDrive Controller dan sistem kawalan suara yang telah diubah suai, ia turut menawarkan dua pilihan untuk membuatkan operasi kenderaan lebih intuitif, mudah dan selamat.
Pertama, paparan sentuh (Touch Display) pada monitor bersaiz 10.25 inci beresolusi tinggi dan anti silau. Dengan skrin tersebut, BMW 7 Series boleh dioperasikan seperti menggunakan sebuah telefon pintar atau tablet dengan menyentuh fungsi yang diinginkan pada skrin paparan tersebut.
Keduanya, kawalan gestur BMW yang merupakan satu cara baru untuk mengoperasikan kenderaan. Pertama kali diperkenalkan pada kereta produksi, pemandu boleh mengakses fungsi-fungsi tertentu kenderaan seperti mengawal suara muzik, menjawab atau memutuskan panggilan telefon dengan hanya menggerakkan satu jari atau tangan.
BMW juga telah membangunkan satu lagi inovasi terbaik di dunia – bumbung kaca panoramik Sky Lounge. Bumbung ini didatangkan dengan bilah langsir elektrik, fungsi gelongsor untuk tujuan ventilasi dan satu ciri baharu iaitu lampu LED yang mempunyai 15,000 elemen cahaya.
Terlalu banyak perkara yang istimewa pada BMW 7 Series. Apa yang pasti, BMW kini ada senjata baharu untuk tampil lebih kompetitif.