Buletin

BMW DISAMAN KERANA REKA BENTUK PEMEGANG CAWAN

Di California, BMW berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kecacatan reka bentuk yang terdapat pada model BMW X7.

Memetik laporan daripada Motor1, aduan yang difailkan di US District Court, Orange County itu menyentuh soal rekaan tempat pemegang cawan yang cacat, dan tidak direka dengan sempurna untuk memegang cawan yang dipenuhi dengan air.

Tambah kenyataan itu lagi, “ketika minuman tertumpah secara tidak sengaja daripada cawan, ia mampu merosakkan modul kawalan beg udara (SRS) yang terletak betul-betul di bawah lokasi tempat pemegang cawan. Hasilnya, beg udara boleh terletus secara tidak sengaja.”

Terdapat beberapa aduan yang direkodkan di dalam tindakan undang-undang itu, dan kebanyakannya mengalami masalah yang serupa yang mampu menjejaskan modul kawalan beg udara SRS.

Dalam satu kes, BMW X7 dikatakan berhenti sendiri secara tiba-tiba di tengah lebuh raya dan sukar untuk dipandu semula, hanya disebabkan oleh tumpahan air dari cawan.

Kos pembaikan dan penggantian modul tersebut mampu mencecah $2,000 (RM8,363) dan di dalam sesetengah kes, BMW enggan untuk menggantikan komponen tersebut di bawah jaminan pengeluar.

Sumber: Motor1

Google ads
Back to top button