
BMW i4 DAPAT VARIAN ASAS EDRIVE35 – 281 HP, JARAK GERAK 418 KM
Sedan coupe BMW i4 kini boleh didapati dalam varian aras mula menerusi pengenalan i4 eDrive35 selepas BMW melancarkan model tersebut dalam varian i4 eDrive40 dan varian tertinggi i4 M50.
Secara teknikalnya, ia masih lagi mengekalkan trenkuasa elektrik pacuan roda belakang yang sama seperti model i4 lain, namun dengan talaan yang lebih rendah, serta pek bateri yang kecil kapasitinya.

Ia mampu menjana kuasa setinggi 281 hp dan 400 Nm, dipadankan dengan pek bateri 70.2 kWh yang membolehkan jarak gerak sejauh 418 km dicapai dalam sekali cas penuh.
Sebagai perbandingan, BMW i4 eDrive40 mampu menghasilkan 335 hp/430 Nm, sementara pek bateri 83.9 kWh pula membenarkan jarak sejauh 481 km.

Sokongan pengecasan pantas 180 kW pula membolehkan bateri dicas sepantas 32 minit dari 10-80 peratus.
Untuk ruang kabin, BMW i4 eDrive35 ini masih membawakan kelengkapan seperti panel kaca melengkung yang menempatkan skrin kluster digital 12.3 inci, dan skrin infotainmen 14.9 inci, serta spesifikasi dan opsyen yang hampir sama dengan varian i4 eDrive40.

Di pasaran Amerika, BMW i4 eDrive35 dijual pada harga $52,395 (RM233,577).







