
HONDA DALAM F1 SAMPAI 2025! SAMBUNG SOKONGAN TEKNIKAL RED BULL
Susulan perbincangan di antara Red Bull dan Honda, kedua-dua pihak bersetuju untuk Honda Racing Corporation (HRC) terus memberikan sokongan teknikal kepada Red Bull Powertrains (RBPT) berkenaan unit kuasa (PU) dari 2023 hingga penghujung 2025.
Pada tahun ini, HRC membekalkan sokongan berkaitan unit kuasa susulan permintaan Red Bull kepada Honda dan digunakan oleh Oracle Red Bull Racing dan Scuderia AlphaTauri.
Honda secara rasminya menamatkan penyertaan di dalam Formula 1 pada penghujung 2021 dengan sumber untuk pembangunan unit kuasa dialihkan bagi memenuhi sasaran masa depan neutral karbon syarikat.

Perjanjian di antara kedua-dua pihak yang berlangsung sekarang ini tidak melibatkan pembangunan unit kuasa dan HRC mampu memberi sokongan berdasarkan sumber dalaman semasa.
Jika disoroti sejarah, Honda dan pengeluar lain biasa keluar dan masuk Formula 1 dan sebelum Red Bull pengeluar Jepun itu telah bersama McLaren.
Honda mula bersaing di dalam Formula 1 pada tahun 1964 hanya empat tahun selepas mengeluarkan keretanya yang pertama.
Perlumbaan merupakan DNA Honda dan dibentuk oleh pengasasnya Soichiro Honda.

Hubungan bersama Red Bull terjalin sejak 2018 dan Honda benar-benar berusaha untuk menghasilkan unit kuasa yang kompetitif.
Usaha dan komitmen membuahkan hasil apabila Red Bull memenangi kejuaraan dunia pada tahun 2021.
Prestasi jentera Red Bull juga cemerlang pada musim ini dan sedang mendahului kejuaraan pengeluar dan pemandu setakat pusingan di Hungary.
Bagaimana dengan Porsche? Perlu tunggu pengumuman rasmi dari pihak terlibat.

BACA: HONDA STEP WGN LAKU! LEBIH 27 RIBU TEMPAHAN DALAM SEBULAN DI JEPUN
BACA: NAK BELI ENJIN K20C1 CIVIC TYPE R? ADA DI AS, DARI RM28K SAHAJA!
BACA:Â HONDA N-BOX CUSTOM STYLE + BLACK BAHARU, GAYA LEBIH PREMIUM!