Artikel Pilihan

BMW ISETTA. MOYANG BMW i3 KOT

Penulis sedang melayari laman sesawang sebelum terlihat satu model kereta yang nampak agak kelakar di rancangan permotoran. Kalau dilihat pada bentuk yang dihasilkan, mesti penulis rasa ini rekaan Perancis. Namun penulis salah besar kerana ia langsung tiada kaitan dengan negara Perancis yang selalu mengalah di medan perang.

Model ini dikenali dengan nama Isetta yang dihasilkan oleh Iso Autoveicoli yang berpengkalan di Itali. Namun disebabkan rekaannya yang agak menarik, ia menarik minat pengeluar lain seperti BMW, Velam (Perancis) dan juga Romi (Brazil). Dalam bahasa Itali, perkataan Isetta bermaksud “Iso Kecil”. Iso Spa merupakan syarkat yang menghasilkan skuter, lori 3 roda dan juga peti ais untuk negara Itali.

Pemilik syarikat ini Renzo Rivolta mendapat ilham untuk menghasilkan sebuah kereta mini yang dipacu oleh enjin satu silinder. Jadi dia mengarahkan juruteranya Ermenegildo Preti dan Pierluigi Raggi membina sebuah kereta mini yang dikuasakan oleh enjin motosikal keluaran Iso Spa iaitu Motosikal Iso 200. Ia menggunakan enjin satu piston dengan sesaran 236cc. Enjin ini menggunakan kitaran 2 lejang.

Enjin 2 lejang zaman dulu asap dia boleh buat fogging nyamuk aedes. Kuasa maksimum yang boleh dihasilkan oleh enjin ini hanyalah 9 kuasa kuda sahaja. Semua kuasa dari enjin akan dihantar ke roda belakang menerusi transmisi 4 kelajuan. Terdapat 1 rantai yang akan menghantar kuasa dari transmisi kepada gandar belakang Ia menggunakan transmisi Kereta ini hanya memiliki panjang 2.29 meter dengan lebar 1.37 meter.

Pada asalnya tayar belakang menggunakan hanya 1 roda sahaja, namun mereka mendapati ia terdedah kepada masalah rollover atau mudah terbalik. Jadi jurutera kembali menggunakan tayar dengan jarak 48cm antara satu sama lain. Disebabkan ia tidak lebar, maka ia tidak memerlukan differential untuk berfungsi.

Antara ciri Isetta yang menarik ialah bentuk cesi bujur seperti telur sehinggakan ia digelar bubble car di Itali. Untuk memasuki Isetta anda perlu membuka pintu tunggal dari arah depan. Paling menarik, sistem stering dan panel instrumen dipasang pada pintu, jika anda buka pintu semua komponen akan bergerak dengan pintu.

Bumbung Isetta dihasilkan dengan menggunakan kanvas, jadi sekiranya selamat dalam kemalangan anda boleh keluar dari bumbung. Kalau kereta ini jatuh terbalik dalam sungai jangan tanya kami macam mana nak selamatkan diri. Pecutan dari 0-50km/h mengambil masa 30 saat, sempat la nak makan cikedis super ring sebungkus.

Halaju maksima pula ialah 75km/j. Namun disebabkan halangan teknolohi ketika itu, ia sekadar mencatatkan bacaan penggunaan petrol sekitar 17.85km per liter. Namun Isetta mendapat cabaran daripada Fiat apabila mereka memperkenalkan model Fiat 500. Bagi mengatasi masalah penurunan jualan, Renzo Rivolta menjual cetak biru dan hak pengilangan kepada pihak yang berminat.

Ini termasukla BMW apabila mereka membeli hak rekacipta Isetta. Namun mereka mengubah Isetta dari sudut kejuruteraan. Rekaan luaran Isetta yang bujur telur masih dikekalkan namun semua komponen dibuat mengikut spesifikasi BMW. Enjin 2 lejang yang asal digantikan dengan enjin 4 lejang 247cc yang menghasilkan 12 kuasa kuda.

Disebabkan perubahan undang-undang lesen memandu Jerman pada tahun 1956, BMW mengambil peluang untuk membesarkan enjin asal yang dipasang pada model Isetta. Enjin 247cc digantikan dengan enjin 300cc. Ia dicapai dengan membesarkan lejang (72mm) dan diamter silinder (73mm). Nisbah mampatan enjin dinaikkan dari 6.8 kepada 7.2 lantas enjin ini mampu menjana 13 kuasa kuda.

Kedudukan enjin juga diubah dari konfigurasi MR (enjin berada di belakang pemandu tapi di depan gandar belakang) kepada RR (enjin berada di belakang gandar tayar). Halaju maksmima juga meningkat kepada 85km/j namun EX5 Solihin lagu laju walaupun dengan pakai karburetor standard.

BMW 600

Pada tahun 1957, BMW merancang untuk menghasilkan model Isetta yang lebih besar bagi pelanggan yang memiliki keluarga. Jadi mereka perlu menghasilkan model yang lebih besar bagi memuatkan 4 penumpang dalam satu masa. Ini menyebabkan jarak antara roda telah ditambah menjadi 1700mm dan sistem suspensi semi trailing arm digunakan pada roda belakang.

Model yang dikenali dengan nama BMW 600 ini direka dengan ketinggian 1375mm dan lebar 1400mm. Disebabkan model ini menjadi lebih besar, ia juga semakin berat sehingga menjadi 515kg. Akibatnya ia memerlukan enjin baru yang lebih berkuasa untuk beroperasi. Jadi BMW menggunakan enjin boxer 2 silinder yang diambil dari motosikal R67.

Enjin ini ada 2 silinder yang disusun secara mendatar dengan kapasiti sebesar 582cc. Kuasa yang dihasilkan ialah 19.5 kuasa kuda dihantar ke roda belakang melalui transmisi 4 kelajuan. Terdapat juga pilihan gear AMT 4 kelajuan ditawarkan. Halaju maksima pula meningkat menjadi 100km/j.

BMW 600 ini canggih sedikit berbanding dengan model sebelumnya kerana terdapat 2 pintu disediakan. Pintu depan biasa untuk penumpang depan dan pintu sisi sebelah kanan untuk penumpang barisan ke dua. Namun hanya 35,000 unit yang dihasilkan antara tahun 1957-1959 disebabkan oleh persaingan daripada VW Beetle.

Pengguna mahukan sebuah kereta dengan ciri-ciri kereta yang sebenar seperti yang ditawarkan pada VW Beetle. Namun di United Kingdom, lain pula ceritanya. Pada tahun 1957, Isetta dikilangkan di fasiliti BMW di Brighton. Disebabkan UK menggunakan pemanduan sebelah kanan, maka beberapa perubahan teknikal dilakukan bagi memenuho homologasi di UK.

Engsel pintu Isetta 300 diubah ke sebelah kanan bersama-sama komponen steering. Disebabkan enjin dan pemandu berada di sebelah kanan, kereta ini akan jadi kurang stabil, jadi pemberat 27kg dipasang di sebelah kiri untuk menstabilkan Isetta. Pelik tapi benar, versi 4 roda tidak popular di UK sehinggalah BMW memperkenalkan versi 3 roda.

Walaupun versi 3 roda mudah terbalik disebabkan selalu dibuli oleh Mr. Bean, ia ada kelebihan lain iaitu dari sudut kos. Model Isetta 300 3 roda boleh diklasifikasikan sebagai motosikal 3 roda dan mengelakkan struktur cukai kereta di UK. Tambah menarik, ia boleh dipandu oleh sesiapa sahaja yang ada lesen motosikal. Namun model Isetta 300 4 roda terus dikeluarkan untuk dieksport ke Kanada, New Zealand dan Australia.

Kalau dieksport ke Malaysia agak-agak orang beli tak kereta macam ni dulu?

Google ads
Back to top button