Buletin

BMW MALAYSIA LANCAR 330E; 0-100km 6.1s, 252ps, 420Nm, RM248,800

BMW Group Malaysia hari ini meraikan 100 tahun inovasinya pada acara  BMW Innovation Days Malaysia 2016 dengan memperkenalkan BMW 330e baharu. Ia merupakan kenderaan hibrid dengan Teknologi eDrive kedua yang dipasang di negara ini. 

Berucap pada majlis tersebut, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “BMW Group telah menjadi kuasa perintis dalam industri automotif yang mempunyai fokus jelas mengenai Mobiliti Masa Depan. Dengan meraikan 100 tahun inovasi penuh visionari dan Sheer Driving Pleasure, kami bukan sahaja tahu sejauh mana kami telah mengukuhkan legasi merintis aspek mobiliti. Malah kami juga komited dalam terus mengukuhkan legasi itu untuk 100 tahun akan datang.”

bmw 330e feature 4

Jelas Han lagi, BMW 330e menjadi model ke-12 yang menyertai portfolio kenderaan pemasangan tempatan di kemudahan BMW Group Malaysia di Kulim Hi-Tech Park.

“Pelancaran BMW 330e baharu menjadi bukti legasi jenama BMW dan mobiliti yang berorientasikan masa depan. Sejak diperkenalkan, sedan BMW 3 Series sentiasa melangkaui sempadan dan standard dalam kelasnya tanpa mengabaikan identitinya sebagai sebuah model ikonik. Hari ini, BMW 330e terus memacu mobiliti masa depan dengan merintis teknologi hibrid dan kejuruteraan tercanggih,” kata Han.

BMW 330e  baharu meneruskan BMW EfficientDynamics melalui kecekapan dan kuasa yang tiada tandingannya. Dilengkapi motor elektrik termaju yang berfungsi secara serentak dengan enjin BMW TwinPower Turbo, BMW 330e baharu dijangka mempu menawarkan pengalaman pemanduan terbaik demi memenuhi spektrum keperluan pemanduan tanpa sempadan.

bmw 330e feature 3

Mengekalkan reka bentuk luaran BMW 3 Series,  BMW 330e baharu menyerlahkan sifat hibridnya. Pada masa yang sama mengekalkan identitinya sebagai sebuah sedan ikonik. Kemampuan hibrid BMW 330e diserlahkan melalui rekaan ringkas dan sofistikated yang dijelaskan oleh rasa elegan dan sporty.

Ciri-ciri tipikal BMW eDrive pada BMW 330e baharu dapat dilihat dengan jelas pada rekaan luaran dan dalaman kereta ini. Ciri luaran khas sebuah kenderaan plug-in hybrid termasuklah sebuah soket panel pengecas yang diposisikan di bahagian kiri hadapan kereta ini. Lampu berwarna biru akan menyala sebaik sahaja proses mengecas bermula bagi menunjukkan aliran tenaga elektrik. Lencana “eDrive” daripada model BMW i pula dipasang pada sisi kereta. Karekter dinamik BMW 330e baharu diserlahkan lagi oleh rim aloi ringan jejari V bersaiz 18 inci dengan saiz tayar yang berbeza-beza.

BMW 330e baharu memiliki rangkaian hibrid inovatif yang terdiri daripada enjin empat silinder bersesaran dua liter bersama teknologi BMW TwinPower Turbo dan motor elektrik synchronous BMW eDrive yang diintegrasikan bersama transmisi Steptronic lapan kelajuan. Digabungkan dengan sistem pacuan roda belakang sepenuh masa dan teknologi eDrive, BMW 330e baharu menawarkan prestasi terbaik bersama kecekapan yang tiada tandingan.

Enjin petrol empat silinder yang telah memenangi Anugerah Enjin Terbaik Antarabangsa sebanyak tiga kali itu berupaya menawarkan kuasa yang cukup sporty. Kuasa maksimum yang mampu dijananya ialah 252hp dan tork puncak 420Nm. Sementara gabungan penggunaan bahan apinya adalah sekitar 2.1 liter bagi setiap 100km dan emisi CO2 49 gram per kilometer. Sementara motor elektrik pula menawarkan output kuasa 65 kW/88 hp dan mampu bergerak pada kelajuan maksimum 120km/j dengan kuasa elektrik sepenuhnya. Melalui gabungan semua kuasa ini, BMW 330e baharu boleh mencatat pecutan dari 0 ke 100km/j dalam masa hanya 6.1 saat dengan kelajuan maksimum 255km/j.

bmw 330e feature 5

Talaan kenderaan serta kawalan rangkaian kuasa boleh dikonfigurasi mengikut kehendak pemandu menerusi butang eDrive dan suis Driving Experience Control. eDrive menawarkan tiga mode pemanduan – AUTO eDRIVE, MAX eDRIVE dan SAVE BATTERY. Dalam talaan AUTO eDrive, enjin dan motor elektrik berfungsi secara selari dengan sangat efisien. Sistem pengurusan tenaga pintar akan memilih kombinasi pemanduan paling optimum bergantung kepada status pengecasan bateri bervoltan tinggi. Sekali gus memastikan karekteristik pemanduan seimbang yang sporty dan efisien. Motor elektrik digunakan untuk keperluan kuasa yang normal. Kuasa enjin kemudian digunakan apabila kenderaan mencecah kelajuan sekitar 80km/j atau ketika pemandu ingin mula memecut.

Bertukar kepada mode MAX eDRIVE akan menggerakkan sistem pacuan elektrik pada output penuh tanpa sebarang emisi. Dikuasakan sepenuhnya oleh motor elektrik, BMW 330e mencapai kelajuan maksimum sehingga 120km/j. Jika lebih banyak kuasa diperlukan daripada sistem pacuan elektrik, enjin pembakaran dalaman akan diaktifkan secara serta-merta dan memastikan gangguan yang minimum pada pemanduan.  Motor elektrik ini juga bertindak sebagai penjana kuasa ketika kenderaan meluncur dan membrek. Ia dapat dilakukan apabila tenaga elektrik yang tidak digunakan disimpan ke dalam bateri bervoltan tinggi. Dengan jarak maksimum sejauh 37km pada mode elektrik sepenuhnya, MAX eDRIVE nyata sesuai untuk pengguna di bandar yang mahukan perjalanan lebih efisien dan prestasi sewajarnya.

bmw 330e feature 2

Dalam mode SAVE BATTERY, tenaga elektrik disimpan atau diganti menerusi proses ‘pemulihan’ ketika kenderaan meluncur di atas jalan raya. Enjin BMW TwinPower Turbo turut membantu mengecas bateri sehingga 50% untuk membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya dilakukan kemudian.  Sebagai tambahan, memilih butang “S” pada tuil gear ketika menggunakan mode SAVE BATTERY akan mengaktifkan enjin pembakaran dalaman secara sendirinya. Mode ini membuktikan fleksibiliti yang ditawarkan kepada pemandu untuk diselarikan dengan konfigurasi kenderaan demi memenuhi spektrum corak pemanduan yang tiada penghujungnya.

Selain daripada butang eDrive, BMW 330e hadir bersama butang Driving Experience Control yang membolehkan pengguna untuk melakukan konfigurasi ke atas stereng, fungsi chasis dan karekter penukaran kedudukan gear transmisi Steptronic lapan kelajuan. Boleh dikawal menggunakan suis Driving Experience Control pada konsol tengah, mode-mode yang ditawarkan adalah COMFORT, SPORT dan ECO PRO.

The new BMW 330e (4)

BMW 330e baharu juga dipasang dengan Head-Up Display, kamera undur dan Bumbung Kaca Elektrik sebagai ciri standard.

Kesinambungan luar biasa ditunjukkan melalui BMW ConnectedDrive terkini yang menghubungkan pemandu, kenderaan dan dunia luar dengan lancar.

Antara ciri inovatif BMW ConnectedDrive termasuklah pelbagai sistem bantuan pemandu yang baru. Ia merangkumi Navigation System Professional generasi terkini seperti iDrive Touch Controller untuk pengiraan laluan yang lebih pantas dan paparan 3D realistik di kawasan urban. Fungsi baru yang lain ialah Parking Assistant dengan stereng automatik ketika hendak memarkir di ruang selari dan menegak. Ketika parkir, alat-alat pengesan PDC pada bahagian hadapan kenderaan akan diaktifkan secara automatik apabila terdapat halangan di hadapannya.

bmw 330e feature 8

BMW 330e baharu juga menawarkan BMW Online Office sebagai sebahagian daripada perkhidmatan dan tawaran aplikasinya. Perkhidmatan ini membolehkan e-mel dibaca, ditulis dan dihantar dari dalam kereta menggunakan kad SIM.  Bukan itu sahaja, ciri BMW ConnectedDrive Services & Apps pada BMW 330e baharu merangkumi Intelligent Emergency Call, Concierge Services, BMW Teleservices dan MyBMW Remote App. Ia membolehkan pemandu menetapkan suhu di dalam kenderaan dari jarak jauh. Di samping menyediakan maklumat mengenai status terkini pengecasan bateri serta fungsi-fungsi lain.

Bateri bervoltan tinggi pada BMW 330e baharu menawarkan kapasiti tenaga kasar mencecah 7.6 kWh dan boleh ditambah melalui mana-mana soket kuasa domestik.  Caj penuh menggunakan soket kuasa domestik konvensional akan mengambil masa selama lima jam. Manakala BMW Wallbox Pro, menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas iaitu 3.5 jam.

bmw 330e feature 6

Sebagai sebahagian daripada BMW 360° ELECTRIC, para pelanggan akan ditawarkan dengan perkhidmatan ChargeNow. Ia terdiri daripada sekeping kad ChargeNow yang menawarkan akses terus ke stesen-stesen pengecasan seperti ChargEV, hasil kerjasama di antara BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia). Stesen-stesen ChargEV kini beroperasi di 19 lokasi strategik di Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Melaka dan Johor.

BMW 330e didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), biru (Mediterranean Blue) dan putih (Alpine White) bersama uplshoteri kulit hitam (Dakota Black).

Google ads
Back to top button