Buletin

BOEING DIARAH PERIKSA PESAWAT SIRI 737 CLASSIC

Pengawal selia penerbangan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Boeing memeriksa pesawat siri 737 Classic berikutan insiden sebuah pesawat terhempas dan mengorbankan 62 orang di Indonesia, Januari lalu.

Model 737 Classic merupakan pesawat generasi lama yang sudah berusia lebih dua dekad.

Menurut dokumen Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dilihat AFP semalam, semua 143 pesawat Boeing 737-300, -400 dan -500 perlu diperiksa.

Dokumen itu menyatakan, kegagalan ‘flap synchro wire’ susulan kegagalan komputer pendikit auto menguruskan daya tuju pesawat, ‘boleh mengakibatkan pesawat hilang kawalan’.

Laporan interim pasukan penyiasat Indonesia pada Februari lalu, menyatakan pendikit jet menunjukkan ‘anomali’ (janggal), walaupun punca kemalangan itu dikatakan tidak jelas.

“Data awal siasatan kemalangan yang sedang dijalankan tidak menyokong kemalangan berpunca akibat kegagalan pendawaian ‘flap synchro wire’,” kata FAA.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan itu ‘perlu bagi mengatasi keadaan tidak selamat yang dikenal pasti’, ditemui di pesawat dibina pada 1980-an dan 1990-an.

“Boeing berfungsi bagi memastikan pesawat selamat dan memenuhi semua keperluan.

“Kami terus berkomunikasi dengan pelanggan dan FAA, selain terbabit dalam usaha berterusan untuk memperkenalkan peningkatan keselamatan dan prestasi di seluruh kumpulan,” kata syarikat itu kepada AFP.

Pesawat Sriwijaya Air Boeing 737-500 terhumban kira-kira 3,000 meter, kurang dari seminit sebelum terhempas ke Laut Jawa pada 9 Januari lalu, beberapa minit selepas berlepas dari Jakarta. Semua 62 penumpang dan kru maut – BH/AFP/Reuters

Google ads
Back to top button