Buletin

BR-V CATAT JUALAN 11K UNIT DALAM MASA 6 BULAN – HONDA MALAYSIA LETAK SASARAN BARU 15K UNTUK TAHUN 2017

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa model BR-V telah mencatat jualan memberangsangkan hampir 11,000 unit selepas enam bulan dilancarkan. 

Angka itu sekali gus melepasi sasaran jualan tahunan sebanyak 10,000. Crossover dengan rekaan luaran SUV dan praktikaliti sebuah MPV itu jelas menarik perhatian pengguna apabila ditawarkan pada harga bawah RM100,000.

Selari dengan perkembangan positif itu, Honda Malaysia menetapkan sasaran jualan yang baru iaitu 15,000 unit, naik 50 peratus berbanding sasaran asal untuk baki tahun 2017.

Berdasarkan kepada rekod jualan, varian V menerajui jualan dengan 80 peratus. Bali 20 peratus datang daripada varian E. Dari segi pemilihan warna pula, putih dan kelabu (Modern Steel Metallic) menjadi warna kegemaran pelanggan dengan 27 dan 25 peratus. Sementara warna merah, coklat dan perak berkongsi peratusan yang hampir sama, 16 hingga 17 peratus.

BR-V nyata diterima baik oleh pelanggan di kawasan urban dan sub-urban. Lembah Klang mencatat jualan tertinggi dengan 44 peratus. Diikuti oleh wilayah Selatan 20 peratus dan Utara 18 peratus.

Pengenalan BR-V juga membolehkan Honda Malaysia terus menembusi pasaran Malaysia Timur. Rekod jualan menunjukkan bahawa jualan Sabah dan Sarawak menyumbang 10 peratus jualan, melepasi sasaran asal sebanyak enam peratus. Kini, BR-V mewakili 34 peratus jualan keseluruhan di Malaysia Timur.

Berdasarkan kepada maklumat jualan dalaman, kebanyakan pelanggan BR-V terdiri daripada mereka yang menaik taraf daripada kenderaan jenama nasional. Selain pemilik kenderan bukan nasional yang mahukan sebuah kereta yang mampu memenuhi keperluan mereka.

BACA: TAHUKAH ANDA HONDA BR-V SEBENARNYA LEBIH LARIS DARIPADA PERODUA ALZA?

Crossover itu berjaya menarik minat 14 peratus mereka yang baru pertama kali membeli kereta. Keadaan itu banyak disumbang oleh faktor harga mampu milik, penjimatan bahan api, ruang kabin luas, akses mudah kepada pengedar sah di seluruh negara dan banyak lagi.

Di sebalik permintaan yang cukup positif, Honda Malaysia memberi jaminan bahawa tempoh penghantaran BR-V kepada pelanggan kekal kepada satu hingga dua bulan. Honda Malaysia telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kenderaan dapat dihantar mengikut jadual tanpa berkompromi dari segi kualiti.

Maklumat lanjut mengenai BR-V atau ingin menempah slot pandu uji, sila kunjungi mana-mana pengedar sah Honda, hubungi talian tol percuma Honda: 1-800-88-2020 atau layari laman web: www.honda.com.my.

Google ads
Back to top button