Buletin

BUAT PERANGAI MACAM KARTEL, PEMBEKAL ALAT GANTI TOYOTA DIDENDA RM137.5 JUTA

Sebuah syarikat pembekal alat ganti dari Jepun, Yamazaki  Corporation diarah membayar denda berjumlah AUD$46 juta (RM137.5 juta) kerana didakwa berpakat dengan pesaingnya.

Yamazaki dikatakan membuat rundingan secara haram dengan Sumitomo Electric Industries untuk sama-sama menawarkan sebut harga kepada Toyota.

Yamazaki bertanggungjawab dalam membekalkan pengikat wayar untuk model Toyota Camry yang dihasilkan di Australia. Denda itu merupakan yang paling tinggi pernah dicatatkan di Australia.

Sebelum ini, mahkamah telah mengenakan denda sebanyak AUD$9.5 juta (RM28.3 juta). Namun jumlah itu dinaikkan selepas menerima rayuan daripada Suruhanjaya Persaingan dan Kepenggunaan Australia.

Mahkamah Tinggi Persekutuan Australia menolak rayuan Yamazaki kerana mendapati syarikat tersebut mengamalkan perniagaan seperti sebuah kartel.

“Amalan ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang kerana ia menipu pengguna dan perniagaan-perniagaan lain, malah ia boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi,” kata Pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Kepenggunaan Australia, Rod Sims.

Denda tersebut juga dilihat sebagai amaran kepada firma lain supaya tidak terlibat dengan amalan perniagaan seperti itu.

Google ads
Back to top button