
BUDAK 8 TAHUN BELAJAR DARI YOUTUBE DAN MEMANDU KE MCDONALDS (UNTUK HAPPY MEAL ADIKNYA)
Ini cerita menarik dari Ohio, Amerika Syarikat yang baru-baru ini digemparkan dengan kisah seorang kanak-kanak lelaki yang mempelajari cara memandu kereta dari Youtube semata-mata untuk membawa adik perempuannya ke McDonalds untuk membeli Happy Meal. Kuat betul kasih sayang seorang abang terhadap adiknya.
Menurut laporan Weirton Daily Times, seorang anggota peronda lebuhraya, Jacob Koehler daripada Jabatan Polis Ohio, telah bertindak berdasarkan aduan beberapa orang awam yang prihatin mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil dilihat memandu sebuah minivan di sekitar Ohio pada petang 9 April lepas. Koehler berjaya mengesan minivan tersebut dan berjaya menahannya. Suspek merupakan seorang kanak-kanak lelaki yang baharu sahaja berusia lapan tahun.
BACA: 5 TIPS MEMILIH KERUSI KANAK-KANAK
BACA: FIREFLY-KERETA ELEKTRIK UNTUK KANAK-KANAK
Bila ditanya bagaimana dan kenapa beliau memandu ke McDonalds, kanak-kanak tersebut menjawab yang dia terlalu ingin untuk menikmati burger keju tetapi kedua ibubapanya sedang tidur. Dia kemudiannya mempelajari cara-cara untuk memandu di laman Youtube .
Tak lama kemudian beliau mengambil kunci kereta, sedikit wang dari tabung beliau sendiri dan membawa adik perempuannya ke dalam minivan tersebut. Siap semuanya, beliau terus memandu minivan tersebut ke McDonalds yang terletak kira-kira dua setengah kilometer dari rumah beliau.
Sepanjang perjalanan ke McDonalds, kanak-kanak ini mematuhi semua peraturan lalu lintas termasuklah berhenti di lampu isyarat merah (memalukan betul mereka yang selalu langgar merah dengan budak umur lapan tahun ni) dan berjaya mengelak dari melanggar apa-apa.
Sebaik sahaja tiba di McDonalds, kanak-kanak tersebut membelok masuk ke kaunter pandu lalu seperti seorang professional dan membuat pesanan burger keju dan nugget ayam untuk adik perempuan beliau termasuk kentang goreng sekali. Menariknya semua pekerja McDonalds menyangkakan yang ia sebuah rancangan untuk mengenakan mereka (prank).
Semua pekerja menyangkakan ibu bapa kanak-kanak tersebut berada di belakang kereta padahal sebaliknya, sambung Koehler.
Apa pun cerita ini berakhir dengan kesudahan yang cukup baik. Kanak-kanak tersebut berjaya mendapatkan snek mereka dan tiada siapa pun yang tercedera.
Walaupun begitu, ia juga menunjukkan kecuaian pihak ibubapa dalam mengawasi anak-anak mereka. Sepatutnya mereka sentiasa diawasi agar tidak berlaku perkara seumpama ini. Kanak-kanak dan ibubapa di atas bernasib baik kerana tidak berlaku apa-apa kemalangan kalau tidak memang makan tak habis la.
Trend kanak-kanak memandu dan menunggang tanpa lesen sebenarnya banyak terjadi di negara kita. Tengok sahaja di sekeliling kita, bersepah kanak-kanak menunggang motosikal tanpa lesen dalam seusia semuda lapan sehinggalah ke belasan tahun.
Setengahnya memang diajar oleh ibubapa mereka agar mudah untuk ke kedai untuk membeli barang-barang runcit kononnya. Entah apa yang bermain di fikiran ibu bapa sampai sanggup membiarkan anak-anak menunggang motosikal ke hulu ke hilir. Kalau setakat kena tahan dengan polis memang la boleh bayar saman. Kalau eksiden macam mana pula? Langgar anak orang?
SUMBER WEITONDAILY