Buletin

BUGATTI MISTRAL – ROADSTER TERAKHIR DENGAN ENJIN W16

Bugatti bakal mengakhiri penawaran enjin W16 8.0 liter quad-turbo menerusi model roadster terbaharu yang dinamakan sebagai Mistral.

Roadster yang menggunakan asas daripada Chiron itu mendapat namanya bersempena dengan angin yang mengalir daripada lembah Rhone River, selatan Perancis, dan rekaan yang diinspirasikan daripada model Type 57 Roadster Grand Raid.

Pengaruh era 30-an boleh dilihat menerusi rekaan cermin hadapan yang melengkung, diikuti dengan dua skup udara bumbung untuk menyejukkan enjin.

Bahagian depan menampilkan unit lampu LED berjalur dengan rekaan gril ikonik Bugatti, sementara bahagian belakang pula unit lampu membawakan motif X yang mengingatkan kita pada model Bolide.

Konfigurasi lampu belakang itu membolehkan Bugatti memasang liang udara untuk tujuan penyejukan.

Bugatti Mistral menggunakan enjin W16 yang sama seperti Chiron Super Sport 300+ berkuasa 1,577 hp yang membolehkannya mampu menjadi roadster terpantas di dunia.

Hanya 99 unit sahaja Mistral yang akan dihasilkan, di mana penghantaran pertama hanya akan dibuat pada awal tahun 2024 selepas Bugatti menamatkan produksi jentera litar Bolide.

Harga jualan bermula dari $5 juta (RM22 juta) dan kesemua unit sudah pun mempunyai pemilik masing-masing.

Google ads
Back to top button