Buletin

BARU 4 KALI DALAM WRC DAH MENANG RALI FINLAND – ESAPEKKA LAPPI

Kejuaraan Rali Dunia FIA (WRC) pusingan Finland memang ditunggu-tunggu. Ia ibarat ibu segala pusingan rali. Pada hujung minggu lalu telah berlangsung Rali Neste Finland dan tahukah anda siapa pemenangnya?

Sébastien Loeb? Tommi Makkinen?

Okay mereka dah lama bersara.

Pemenangnya ialah Esapekka Lappi yang baru empat kali bersaing dalam peringkat tertinggi WRC. Beliau mendahului pelumba lain dengan masa 36 saat.

Lappi hanya berusia 26 tahun dan bersama pemandu arah Janne Ferm menggunakan jentera Toyota Yaris WRC. Kemenangan yang diraih tidak mudah kerana sebelum itu roda kereta pecah sebelum berjaya mengecapi kejayaan di tempat kelahirannya.

Kemenangan itu ternyata pencapaian istimewa buat pasukan Toyota Gazoo Racing yang baru dua kali menjuarai pusingan selepas bertahun-tahun meninggalkan WRC dan kembali semula pada tahun ini. Di tempat kedua pula ialah Elfyn Evans yang memandu Ford Fiesta WRC.

Jari-Matti Latvala yang turut memandu untuk Toyota Gazoo Racing pula terpaksa bersara pada tengah hari Sabtu apabila unit kawalan elektronik keretanya gagal berfungsi.

Rali Finland ini sebenarnya boleh dianggap sebagai dominasi Toyota Yaris WRC apabila Juho Hänninen menduduki tempat ketiga menggunakan kereta tersebut. Kemenangan itu juga adalah peristiwa bersejarah buat Hänninen apabila ia adalah podium pertama beliau dalam WRC.

Sementara itu, juara dua kali WRC dan tujuh kali rali Finland iaitu Marcus Grönholm dipilih sebagai wartawan jemputan untuk Red Bull TV pada pusingan kali ini.

Beliau turut mengulas mengenai kemenangan Esapekka dan usaha Tommi Makkinen membangunkan pasukan, “Rali Finland kali ini menakjubkan, persembahan Esapekka Lappi begitu mengkagumkan, kami sedia maklum mengenai kemampuannya tetapi dalam perlumbaan ini beliau mengkagumkan, kata Grönholm.

“Secara amnya, kejutan kali ini ialah Toyota. Atau mungkin saya tidak merasa terkejut sangat memandangkan saya pernah memandu Yaris WRC dan ia benar-benar bagus. Tidak banyak yang saya dibenarkan untuk berkongsi mengenainya tetapi saya benar-benar kagum.

Penghargaan ini patut ditujukan buat Tommi Makkinen, beliau melakukan tugas yang sangat bagus dalam membina pasukan ini dari kosong. Cuma satu perkara masih belum sempurna ialah masalah teknikal yang dihadapi oleh Jari-Matti Latvala pada hari Sabtu, ia berlaku sewaktu beliau mendahului perlumbaan.” akhiri Grönholm.

Sementara itu, Thierry Neuville yang memandu Hyundai i20 Coupe WRC berkongsi mata pendahulu kategori pemandu bersama Sébastien Ogier yang memandu Ford Fiesta WRC.

Neuville sebenarnya mendapat tempat keenam di Finland dan dengan mata yang diperolehi melonjakkan beliau ke atas apabila Ogier gagal menamatkan perlumbaan akibat kemalangan.

BACA: SÉBASTIEN LOEB BAKAL KEMBALI SEMULA KE WRC?

BACA: SUBARU WRX STI TYPE RA NBR SPECIAL – SEDAN 4 PINTU TERPANTAS DI THE RING

Berikut ialah keputusan WRC terkini:

Rali Finland (Pusingan 9 dari 13)

  1. Esapekka Lappi/Janne Ferm (Toyota Yaris WRC) 2j29m26.9s
  2. Elfyn Evans/Daniel Barritt (Ford Fiesta WRC) +36.0s
  3. Juho Hänninen/Kaj Lindström (Toyota Yaris WRC) +36.3s
  4. Teemu Suninen/Mikko Markkula (Ford Fiesta WRC) +1m01.5s
  5. Craig Breen/Scott Martin (Citroen C3 WRC) +1m22.6s
  6. Thierry Neuville/Nicolas Gilsoul (Hyundai i20 Coupe WRC) +1m33.1s

Kedudukan pemandu:

  1. Thierry Neuville – 160 poin
  2. Sébastien Ogier – 160 poin
  3. Ott Tänak – 119 poin
  4. Jari-Matti Latvala – 114 poin
  5. Dani Sordo – 84 poin
  6. Elfyn Evans – 79 poin
  7. Craig Breen – 53 poin
  8. Hayden Paddon – 51 poin
  9. Juho Hanninen – 46 poin
  10. Esapekka Lappi – 45 poin
Google ads
Back to top button