Buletin

CONTINENTAL TYRES LANCAR CC6 & UC6 DI CHINA, BAKAL MASUKI PASARAN MALAYSIA PADA NOVEMBER

Pengeluar tayar terkemuka dunia dari Jerman, Continental Tyres melancarkan dua model naik taraf untuk produk tayar Generation 6 iaitu UltraContact UC6 dan ComfortContact CC6 di Zhejiang, China malam semalam.

batch_ComfortContact-CC6-China-mekanika6

Pengenalan itu merupakan strategi jangka panjang Continental, dikenali sebagai “Vision 2025” yang fokus terhadap pasaran Asia Pasifik (APAC).

Direka khas untuk kegunaan rantau tersebut, Generation 6 membuktikan kesungguhan Continental dalam inovasi demi menawarkan pengalaman pemanduan lebih baik kepada para pengguna.

batch_ComfortContact-CC6-China-mekanika4

“Rantau APAC mempunyai potensi besar dan menjadi pemacu utama pertumbuhan Continental pada masa depan,” kata Ahli Lembaga Pengarah Eksekutif dan Ketua Divisyen Tayar Continental, Nikolai Setzer.

Untuk pasaran tempatan, CC6 akan menggantikan tayar CC5. Sementara tayar UC6 pula, sebahagiannya akan menggantikan MC5, selain melibatkan penambahan beberapa saiz baharu. Tayar-tayar ini dijangka diperkenalkan di Malaysia pada November depan.

batch_ComfortContact-CC6-China-mekanika3

Ciri penting ComfortContact CC6:

  • Tawar tahap keselesaan mengagumkan: Pilihan terbaik untuk pemandu yang mengutamakan aspek keselesaan ketika memandu.
  • Lebih senyap: Menggunakan prinsip “Helmholtz resonator”, ciri Harmonic Comfort Chambers diletakkan pada bahagian dalam bunga tayar. Ia berfungsi menghilangkan frekuensi bunyi bising yang tidak diperlukan. Manakala “Whisper Compound” pada CC6 pula menampilkan polimer yang mampu mengadaptsi permukaan kasar jalan raya, sekali gus mengurangkan bunyi bising tayar.
  • Kompaun fleksibel menyerap ketidaksempurnaan jalan raya: “Whisper Compound” menyokong kesan penyerapan untuk memberi lebih keselesaan.
  • Prestasi perbatuan yang lebih tinggi: Dengan rangkaian sulfur di dalam kompaun bertindak sebagai pengikat polimer, tayar ini dikatakan lebih efisien dari segi jarak perbatuannya.
  • Pilihan saiz yang luas: Didatangkan dalam saiz 14 hingga 18 inci.

batch_UltraContact-UC6-China-mekanika1

Kelebihan UltraContact UC6:

  • Prestasi lebih seimbang: Dengan teknologi termaju Jerman dan reka bentuk bunga tayar yang inovatif, UltraContact UC6 berupaya menawarkan pemanduan lebih baik dan prestasi yang seimbang.
  • Tahap keselamatan lebih tinggi di atas jalan yang basah: Bagi mengekalkan keselamatan di atas jalan basah, pasukan jurutera Continental telah mereka semula rekaan bunga tayar dengan menambah ciri Aqua Drainage. Ciri itu berfungsi meningkatkan aspek cengkaman dan mengurangkan masalah aquaplaning. Bukan itu sahaja, corak bunga Diamond Edge pada UltraContact UC6 menghalang berlakunya efek “rolling-in” ketika kenderaan dibrek dalam jarak dekat. Sudut lencongan juga berfungsi mengalihkan air, sekali gus memastikan brek kenderaan dapat dihentikan dalam jarak pendek di atas jalan yang basah.
  • Kompaun Adaptive Diamond Blend Compound memberikan cengkaman dan ketahanan: Kompaun Diamond Blend terdiri daripada polimer cengkaman dan perbatuan yang telah dipertingkatkan. Hasilnya, tayar ini mampu menawarkan tahap cengkaman yang baik ketika membrek dan mengambil selekoh, selain lebih tahan lama.
  • Lebih senyap: UltraContact UC6 mengurangkan bunyi bising menerusi ciri Noise Breakers 2.0. Ia merupakan versi konsep Noise Breaker yang telah dipertingkatkan untuk mengurangkan gelombang bunyi bising di dalam bunga tayar.
  • Pilihan saiz yang luas: Ditawarkan dalam saiz 15 hingga 19 inci.

batch_UltraContact-UC6-China-mekanika3

“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan produk Generation 6 kepada pengguna di rantau APAC. Selain pembukaan pusat latihan baharu di Hefei, pelancaran produk Generation 6 membuktikan komitmen kami terhadap rantau ini.

“Selari dengan prinsip ‘in the market, for the market’, produk Generation 6 akan dihasilkan di kilang-kilang Continental di APAC dan pastinya mematuhi standard global,” kata Naib Presiden Eksekutif Tayar Gantian Kenderaan Penumpang dan Trak Ringan APAC Continental, Philipp von Hirschheydt.

Google ads
Back to top button