Buletin

PROTON – CONTINENTAL JALIN KERJASAMA: PEMILIK SAGA BOLEH TUKAR TAYAR DARI RM211 DI PUSAT SERVIS PROTON

PROTON melangkah setapak lagi dalam memperkukuh kualiti perkhidmatan selepas jualannya menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Continental Malaysia.

Usaha ini menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan tayar bersepadu di pusat servis bertauliah PROTON yang terpilih di seluruh negara, bertujuan menjadikan pengalaman pemilikan kenderaan lebih mudah, menyeluruh dan lancar.

Melalui kerjasama ini, pusat servis PROTON akan menawarkan servis jualan tayar, pemasangan oleh juruteknik profesional, serta sokongan selepas jualan secara terus bersama jenama tayar terkemuka itu.

Menjelang hujung tahun ini, sekurang-kurangnya 60 cawangan dijangka menyertai inisiatif ini, membolehkan pelanggan mendapatkan semua keperluan penyelenggaraan di bawah satu bumbung  tanpa perlu berkunjung ke lokasi berbeza.

Kini, pemilik PROTON boleh menggantikan dan memasang tayar baharu semasa sesi servis berkala mereka. Harga tayar bermula serendah RM211 seunit khusus untuk model Proton Saga, dan semua tayar yang ditawarkan merupakan stok keluaran terkini bagi menjamin tahap keselamatan serta prestasi optimum.

Pemasangan pula dilaksanakan oleh juruteknik PROTON yang telah mendapat latihan khusus, memastikan standard kualiti perkhidmatan dikekalkan di seluruh negara.

Bagi meningkatkan keyakinan pengguna, pelanggan turut ditawarkan perlindungan menyeluruh melalui pelan Total Confidence Plan (TCP) daripada Continental Malaysia.

 Pelan ini meliputi perlindungan kerosakan jalan selama setahun serta penggantian tayar secara percuma bagi kerosakan tidak dijangka.

Tambahan pula, pilihan pembiayaan melalui Direct Lending disediakan untuk mereka yang memerlukan fleksibiliti kewangan, dengan pembayaran secara ansuran bulanan yang mudah dan terancang.

Menurutnya, kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PROTON dalam menaik taraf pengalaman selepas jualan.

Menerusi jaringan pusat servis 3S dan 4S terbesar dalam industri automotif tempatan, serta sokongan daripada tenaga kerja yang terlatih secara profesional, PROTON terus memacu ke arah standard servis bertaraf tinggi.

Antara tawaran menarik yang diperkenalkan termasuklah servis pantas FS90 Fast Service, yang menjamin proses penyelenggaraan dalam masa 90 minit dari pendaftaran ke penyerahan kunci.

Pelan ProCare Smart Plan (PSP) juga tersedia bagi pelanggan yang mahukan pakej penyelenggaraan jimat dan pilihan pembiayaan fleksibel.

Pengguna turut boleh memanfaatkan aplikasi mudah alih MyProton bagi menjadualkan servis serta menerima makluman terkini.

Manual Pemilik Digital pula boleh diakses pada bila-bila masa, sementara perkhidmatan Body & Paint dan pelan insurans Proton Insurance Programme (PIP) ditawarkan bagi menyokong keperluan pemulihan kenderaan akibat kemalangan.

Google ads
Back to top button