Buletin

CONTINENTAL BAKAL MENAMATKAN PENGELUARAN TAYAR DI KILANG ALOR SETAR

Continental mengumumkan bahawa pengeluaran tayar di kilangnya di Alor Setar, Kedah akan dihentikan sepenuhnya menjelang akhir tahun 2025.

Kilang ini, yang kini menggaji sekitar 950 pekerja, menghasilkan tayar untuk kereta penumpang, trak ringan, serta motosikal khusus untuk pasaran Asia-Pasifik.

Dalam menghadapi penutupan ini, syarikat memberi jaminan bahawa kebajikan pekerja menjadi keutamaan, dengan menyediakan sokongan termasuk kaunseling kerjaya dan bantuan untuk mencari peluang pekerjaan sama ada dalam Continental sendiri atau di tempat lain.

Penutupan ini dibuat selepas Continental menjalankan semakan menyeluruh ke atas operasinya, sebagai langkah untuk mengukuhkan daya saing dan memastikan kelangsungan prestasi syarikat di rantau Asia-Pasifik.

Selain itu, langkah ini bertujuan menyesuaikan operasi dengan perubahan permintaan pelanggan dan mengoptimumkan portfolio produk di pasaran tempatan.

Meskipun operasi di Alor Setar akan dihentikan, Malaysia kekal sebagai pasaran penting bagi Continental di Asia-Pasifik. Syarikat itu mengulangi komitmennya terhadap pelanggan dan rakan niaga, menegaskan bahawa hubungan jangka panjang dan kepercayaan tetap menjadi tunjang utama perniagaannya di negara ini.

Continental juga menyatakan bahawa Asia-Pasifik terus menjadi zon pertumbuhan strategik, disokong oleh jaringan kilang tayar yang kukuh di rantau ini.

Antara fasiliti lain yang akan terus beroperasi ialah kilang di Hefei (China), Rayong (Thailand), Modipuram (India), Kalutara (Sri Lanka) dan Petaling Jaya (Malaysia).

Google ads
Back to top button