Artikel PilihanBuletin

HARI-HARI SURAM INDUSTRI KERETA TERPAKAI

Ketika ekonomi nampak seakan-akan hendak pulih bagi sektor automotif, tanpa kita sedari ada satu bahagian lain yang menderita dalam industri ini. Pasaran kereta terpakai oleh pengedar “used car” berdepan dengan hari-hari suram. Orang nampaknya memburu kereta baru dan kereta-kereta terpakai nampaknya menjadi lambakan di pasaran.

Apakah puncanya?

Premis kereta terpakai pernah menikmati zaman gemilang pada era 90-an. Ketika ekonomi rancak, pinjaman terhad pada durasi 5 tahun dan kadar faedah 5-8 peratus, pembeli tidak banyak pilihan untuk membeli kereta baru. Bayangkan pada 1996, membayar bulanan sebuah Proton Satria atau Daihatsu Espri yang berharga RM40,000 dengan deposit 10 peratus ialah sekitar RM700-RM800. Tetapi pada hari ini, membeli sebuah Myvi pada harga sama, anda hanya memerlukan separuh belanja. Sekitar RM400 sebulan.

used car

Bezanya, dulu, kita berhutang 5 tahun tetapi sekarang 9 tahun. Saya dah nampak kesan domino ini pasti akan

berlaku berlaku juga. Ia adalah berkenaan masa, cepat atau lambat. Sistem perbankan kita sangat longgar bilamana kerajaan tidak mengawal struktur pembelian ini menyebabkan mudahnya orang membeli kereta. Dalam kes yang lebih buruk, orang membeli kereta kedua, ketiga, ke sembilanbelas dan bukannya sebagai keperluan.

Peniaga used car lazimnya sudah berkecimpung dalam industri sejak sekian lama. Sejak pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), perniagaan mereka semakin terjejas. Sudah tentu, kos-kos begini perlu dipindahkan kepada pengguna. Itu menjadikan kereta yang diambil masuk (trade in) menjadi lebih murah dan harga jualan semula lebih mahal.

Pelanggan juga sering dibelenggu dengan masalah ketidakjujuran peniaga. Tanya saja diri sendiri atau kawan anda yang pernah beli kereta used car, pasti ada saja isunya. Antaranya, batuan (mileage) palsu, keadaan kereta teruk yang diperbaiki semula dan paling menyakitkan hati, kos-kos tersembunyi yang dikenakan kepada pembeli seperti kos pemprosesan, kadar faedah yang tinggi, kos pemeriksaan PUSPAKOM, bayaran kepada “runner” yang ditokok tambah dan bermacam-macam lagi.

satria

Kesudahannya bila dikira semula, lebih baik beli dari pembeli terus. Laman web seperti mudah.my, oto.my dan carlist.my adalah antara yang sangat membantu. Ia menemukan pembeli dan penjual, tanpa orang tengah. Pembeli dapat harga yang bagus dan penjual juga tak perlu makan hati bila dengar harga trade in dari used car.

Orang juga semakin bijak dengan membeli kereta baru. Namakan sahaja promosi yang ada, 0 deposit?, skim graduan? Skim pekerja kontrak? Tanpa lesen? Pinjaman 10 tahun? Kadar faedah serendah 2 peratus? Itu belum kira dengan pakej servis percuma sehingga 3 tahun, jaminan pengeluar tanpa had dan bermacam-macam lagi.

Mengeluh pun takkan mengubah keadaan. Used car perlu berubah dan mengubah modus operandi perniagaan mereka. Sama macam industri teksi, sebelum kehadiran Uber dan Grab, mereka selesa tanpa ada persaingan. Namun bila pelanggan ada pilihan, barulah sedar bahawa modul perniagaan mereka semakin tidak relevan.

Teknologi kadangkala memang kejam tanpa mengira siapa audiennya. Ia adalah pilihan kita untuk berubah, Nokia dan Blackberry adalah contoh terbaik dalam sejarah kegagalan untuk berubah.

 

 

 

Google ads
Back to top button