Buletin

GEELY KALAHKAN JUALAN NISSAN DAN HONDA DI CHINA

China adalah pasaran kenderaan terbesar di dunia. Pada 2017 pendaftaran keseluruhan kenderaan baharu di China adalah sebanyak 28 juta unit jadi tidak hairanlah mengapa Tun Dr. Mahathir bersungguh mahu Proton menjual kereta di sana.

Ini juga bukan kali pertama Proton berusaha untuk memasuki pasaran China. Pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu tahun 2007, Proton telah bekerjasama dengan Youngman Automobile Group untuk mengeluarkan dan memasarkan kenderaan Proton di China.

Dari situ jenama Europestar dilahirkan termasuk Youngman Lotus hasil kerjasama dengan Lotus Engineering. Kerjasama dengan Youngman tamat pada tahun 2015 dan selepas itu DRB-Hicom mengikat perjanjian dengan Goldstar Heavy Industrial.

Ini sebenarnya kerjasama kedua dengan Goldstar selepas tahun 2002.

Kerjasama dengan Goldstar kemudiannya tamat pada awal tahun ini. Untuk mengatakan Proton ‘lembap’ adalah sangat salah kerana syarikat kereta nasional ini berhempas pula untuk memajukan perniagaannya termasuk memasuki pasaran China.

Mungkin selepas pertemuan ‘orang besar’ dengan ‘orang besar’ yang dilakukan oleh Mahathir barulah kerjasama ini akan berjaya dengan gemilang.

Berbanding dua firma China yang berkerjasama dengan Proton, rakan baharu iaitu Zhejiang Geely Holding mempunyai penjenamaan dan kehadiran yang lebih besar.

Ini banyak dibantu selepas pembelian Volvo Cars pada tahun 2010 dan pengaruh jenama Sweden itu sendiri sebagai jenama premium.

Pembelian itu dilihat sangat logikal kerana ia satu-satunya jenama premium yang mampu milik. Adalah suatu yang mustahil untuk ZGH membeli jenama premium lain seperti Mercedes-Benz, BMW atau Audi.

Hasil kerjasama dengan Volvo Cars, Geely berjaya menghasilkan model yang menggagumkan dan kesukaan ramai. Walaupun banyak lagi jenama China yang hebat belaka ia tidak mempunyai reputasi dan pengaruh seperti Volvo pada kenderaan keluaran mereka.

Boleh disimpulkan bahawa strategi ZGH untuk leverage jenama dan kepakaran Volvo adalah berjaya.

Satu fakta untuk menyokong kenyataan ini ialah jualan Geely yang sedang meningkat naik. Pada tahun 2016, Geely berada di kedudukan kesepuluh (kenderaan penumpang) jenama China terlaris dengan jualan sebanyak 775,000 unit.

Geely berada di kedudukan ketiga jenama China selepas Haval dan Changan. Pada 2017 pula jualan Geely telah meningkat lebih daripada 1.25 juta unit dan terus melonjakkan kedudukannya ke tempat ketiga terlaris di China.

Di antara model terlaris Geely ialah SUV Boyue yang juga merupakan SUV pertama Proton dan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat ini.

Satu lagi fakta Geely berada di landasan kejayaan ialah rekod jualan untuk enam bulan pertama tahun ini dalam laporan The Star menunjukkan ia telah menjadi pengeluar ketiga terbesar di China di belakang Volkswagen AG dan General Motors Co.

Pengeluar Jepun lain seperti Nissan Motor Co., Honda Motor Co dan Toyota Motor Corporation kini berada di belakang Geely.

Jualan Geely setakat Jun 2018 ialah 766,730 di hadapan Nissan sebanyak 720,447 unit.

Pendapatan bersih Geely juga telah meningkat 54 peratus dari Januari hingga Jun tahun ini dengan jangkaan jualan melebihi 1.58 juta unit.

Penguasaan pasaran enam bulan pertama juga meningkat kepada 6.4 peratus berbanding tempoh sama sebanyak lima peratus tahun lalu.

Walaupun berada di tempat ketiga, misi untuk berada di kedudukan pertama masih memerlukan usaha yang lebih giat apabila VW menjual sekitar tiga juta unit kenderaan setahun.

Dengan prestasi jualan dan pengaruh jenama yang hebat diharapkan Proton dan Lotus turut menerima tempias dan berjaya seperti yang diusahakan dan diimpikan sejak bertahun dahulu.

BACA: “KUALITI SUV PROTON-GEELY SEBAIK JENAMA EROPAH” – TUN MAHATHIR

BACA: GEELY MAHU TUKAR LOTUS JADI PESAING PORSCHE DAN FERRARI

Google ads
Back to top button