Buletin

KLIMS 2018: WAJARKAH ACARA BEGINI DI SEBUAH PAMERAN KENDERAAN?

Sebenarnya, pasukan kami telah berbincang perihal perkara ini sejak tengahari tadi samada mahu siarkan atau tidak artikel ini. Ia akan memberi dua kesan.

Pertama. Kami secara tak langsung membantu mempromosikan acara ini dan berkongsi saham dosa.

Kedua. Kami sangat berharap, perkara ini tular dan dipanjangkan sehingga pihak yang berkenaan nampak kesannya terhadap acara keseluruhan.

Mekanika, sebagai web Bahasa Melayu kekal konsisten bahawa kami tidak sekali-kali menyokong manipulasi wanita seksi dalam sebarang acara permotoran. Ia tidak patut dibuat pun.

Dunia sudah berubah.

BACA: EKSPLOITASI WANITA DALAM AUTOMOTIF

Di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 2018 misalnya Ssangyong menggunakan model lelaki dengan pakaian sukan untuk mempromosi barisan kenderaan pikap dan SUV.

Toyota dan Nissan juga cuba untuk berubah dan mengurangkan pakaian model dengan menjolok mata. Sementara Lexus telah menggugurkan model pameran sama sekali manakala Fiat Chrysler membatalkan kontrak dengan beberapa model wanita.

Maserati, Jeep dan Alfa Romeo pula menggunakan model lelaki dan wanita dengan pakaian lebih sopan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dari sudut lain, pengeluar mula nampak, penggunaan wanita ini menjadikan imej mereka nampak murah. Mereka perlukan subjek lain untuk membolehkan pengunjung melihat produk mereka dan bukannya kekuatan pada produk mereka sendiri.

Sepertimana anda ketahui tentang acara KLIMS 18 yang sedang berlangsung dari semalam hingga penghujung minggu hadapan, sebahagian acara yang kami rasa tidak patut diadakan ialah yang ini;

TARIAN FOREST DANCER DARI VIETNAM

Kami sunting supaya tidak menampilkan imej keterlaluan.

Lokasinya ialah di petak pameran Benelli dan jika mengikut poster yang disiarkan, ia akan diadakan pada hari Sabtu dan Ahad. Ia jelas menunjukkan wanita berpakaian seksi akan membuat persembahan tarian.

Apa kaitannya dengan motosikal kami tidak tahu.

Untuk menjadikan ia lebih menarik, ia diadakan hanya kira-kira 100 meter dari kawasan yang menempatkan zon permainan kanak-kanak – Family Fun Times.

Kenapa tak cakap dengan penganjur?

Sudah. Kami sudah cuba. Dan semenjak kes siaran akhbar Bahasa Melayu semalam, penganjur menghubungi kami secara peribadi. Dan kami luahkan tentang kerisauan kami tentang acara ini.

Kami dimaklumkan bahawa mereka tidak ada kuasa untuk menghalang exhibitor membuat sebarang acara dalam petak pameran mereka.

Ya. Itulah jawapannya.

Jadi, kami ambil keputusan menggunakan platform sendiri untuk memberi mesej kepada semua.

Kami lihat ini bukan dari sudut agama Islam semata-mata, tapi juga dari aspek moral. Kita patut hentikan amalan ini.

Oh ya. Ironiknya, sewaktu majlis perasmian semalam, Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke masuk ke dewan dengan diiringi oleh paluan kompang oleh pasukan berpakaian tradisional yang bergaya.

Google ads
Back to top button