Buletin

NISSAN SYLPHY: RM112,000 – RM122,000

Edaran Tan Chong Motor (ETCM) semalam melancarkan Nissan Sylphy generasi ketiga. 

SONY DSC

Harus tahu bahawa sedan segmen C itu ialah model baharu sepenuhnya dan bukan model naik taraf. Sebagai sebuah model global Nissan, lebih 560,000 unit Sylphy baharu telah terjual setakat ini di 56 buah negara.

Sylphy mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 2008. Berbeza dengan Sylphy terdahulu, tawaran terbaharu daripada ETCM itu datang dalam bentuk CBU dari Thailand.

SONY DSC

Sekali pandang, memang Sylphy yang hadir dalam dua varian iaitu 1.8 E dan 1.8 VL kini tampil dengan penuh gaya menerusi rekaan dalaman serta luaran yang lebih segar. Perubahan dapat dilihat dengan ketara dari semua segi.

Penampilan luarannya lebih menyerlah menerusi rekaan gril hadapan bersepadu tiga dimensi berwarna krom yang diintegrasikan dengan enam lampu utama LED. Melihat dari arah sisi, garis karekternya bergerak dari lekuk dapra hadapan hingga ke lampu belakang yang menampilkan reka berbentuk ladam kuda bersama butiran LED.

Nissan-Sylphy-Mekanika (1)

Tidak lagi menggunakan enjin MR20DE bersesaran 2.0 liter, Sylphy sebaliknya dijana oleh unit enjin baharu MRA8DE Twin CVTC. Enjin 1.8 liter itu dilengkapi teknologi terkini dan kawalan injap pemasaan berterusan (CVTC) pada bahagian pengambilan (intake) dan ekzos. Maka, kuasa maksimum 131PS @ 6,000rpm dan tork 174Nm @ 3,600rpm mampu dihasilkan.

Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear XCVT (Xtronic Continuously Variable Transmission) generasi seterusnya bersama satu gear sub-planetari untuk penukaran gear yang lancar dan kehilangan kuasa dapat diminimumkan.

Nissan-Sylphy-Mekanika (10)

Nisaan mendakwa gabungan rangkaian kuasa itu membolehkan Sylphy mencapai penggunaan bahan api sekitar 15.6km/l atau penjimatan 16 peratus berbanding enjin sebelum ini.

Rekaan ruang dalaman Sylphy mengekspresikan rasa yang premium. Keselesaan ruang dalaman ditingkatkan dengan menambah 30mm untuk ruang bahu dan 680mm pada ruang kaki. Sylphy juga memiliki kapasiti ruang kargo sehingga 510 liter, terbaik dalam kelasnya.

Nissan-Sylphy-Mekanika (5)

Kabin Sylphy menawarkan pengalaman yang lebih selesa dan senyap menerusi penambahbaikan yang mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH). Ketegaran tubuh diperkukuhkan, material penebat akustik yang diletak dengan berkesan dan penggunaan suspensi menyerap getaran menawarkan kesenyapan serta pemanduan selesa. Ciri-ciri lain termasuklah sistem pendingin hawa dua zon automatik yang menghasilkan persekitaran selesa untuk semua penumpang.

29  Six SRS Airbags

Sylphy menawarkan ciri keselamatan terbaik berbanding pesaing sekelasnya. Sedan itu dilengkapi enam beg udara SRS, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Anti-locking braking System (ABS), Electronic Brakeforce Distribution (EBD), Brake Assist (BA) dan Traction Control System (TCS) untuk kedua-dua varian!

“ETCM mensasarkan untuk menjual kira-kira 5,000 unit Sylphy pada tahun ini. Jika dilihat dari segi nisbahnya, 60 peratus adalah daripada varian 1.8VL dan bakinya versi 1.8E,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.

Nissan-Sylphy-Mekanika (6)

Sylphy didatangkan dalam lima warna iaitu merah, hitam, emas, putih dan perak.  Harga di atas jalan tidak termasuk insurans ialah  RM111,900 untuk varian 1.8E dan RM121,900 bagi varian lebih mewah, 1.8VL.

Ia hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km mana-mana tiba dahulu.

Nissan-Sylphy-Mekanika (17)

Sempena pelancaran Nissan Sylphy serba baharu, ETCM turut menawarkan pemasangan lapisan cermin (tinting) Solar Gard Armorcoat secara percuma kepada 1,000 pelanggan terawal.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button