Buletin

SUZUKI SWIFT SPORT – 140hp, 970kg, SEMAKIN MANTAP

Suzuki melakukan debut dunia model Swift Sport di pameran Frankfurt Motor Show 2017 hari ini.

Swift Sport generasi ketiga itu jelas tampil dengan gayaan lebih agresif, rendah dan mantap.

“Kami tahu bahawa para pelanggan menghargai pengalaman pemanduan yang dinamik berbanding perkara lain. Sebab itulah kami menghasilkan Swift Sport yang lebih ringan, laju dan mengujakan,” kata Ketua Jurutera Swift Sport, Masao Kobori.

Berat jentera kompak itu dikurangkan sebanyak 80kg menjadi 970kg sahaja. Terima kasih kepada penggunaan platform genersasi baru Suzuki, HEARTECT yang tegar.

Nisbah berat kuasa dipertingkat dengan penggunaan enjin 1.4 BOOSTERJET berkuasa 140hp.

Sistem pengecas turbo baharu membantu enjin menghasilkan kuasa tork lebih tinggi pada putaran rpm rendah. Kuasa tork kini ditingkatkan sebanyak 70Nm menjadi 230Nm.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gar manual enam kelajuan yang sama digunakan pada model terdahulu. Tetapi ia telah ditala untuk menawarkan prestasi penukaran gear lebih lancar.

Manakala sesaran enjin yang kecil dan sistem pancitan terus bahan api mengurangkan penggunaan bahan api secara signifikan.

Kualiti pengendalian Swift Sport dimantapkan lagi dengan menggunakan penyerap hentak Monroe di hadapan (diambil daripada generasi sebelum ini). Roda belakang pula dipasang dengan suspesi jenis torsion beam, juga daripada Monroe. Aspek kestabilan dipertingkat dengan bar sambungan lebih tebal.

Penampilan Swift Sport yang atletik diserlahkan menerusi gril hadapan eksklusif, bampar, lip spoiler hadapan aerodinamik, skirting sisi dan spoiler bumbung belakang.

Rim aloi bersaiz 17 inci, peresap udara dan paip ekzos berkembar itu melengkapkan lagi gayaan yang sporty itu.

Swift Sport didatangkan dalam tujuh warna menarik seperti kuning, merah, biru, putih, perak, kelabu dan hitam mutiara.

Google ads
Back to top button