Buletin

VW DIIKTIRAF SEBAGAI JENAMA PALING INOVATIF 2017

Dalam dunia kejuruteraan ada dua prinsip yang biasa dipegang iaitu, revolusi dan evolusi. Revolusi ini ibarat sesuatu yang baharu manakala evolusi pula ialah penambah baikan kepada teknologi sedia ada.

Jika menyentuh tentang pengeluar kenderaan, jenama barat kelihatan lebih gemar kepada teknologi baharu berbanding evolusi yang diamalkan oleh jenama Jepun.

Walau bagaimanapun, teknologi yang revolusi mendatangkan risiko besar kerana ia belum benar-benar teruji atau dalam erti kata lain belum sempurna.

Itu salah satu sebab kenapa pengeluar Eropah jarang menduduki tangga teratas dalam indeks kajian kepuasan pengguna berbanding pengeluar Jepun.

Jika disebut tentang reputasi Volkswagen di Malaysia, harus diakui jenama itu belum pulih lagi dari reputasi dan persepsi negatif.

VW cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada dan harapnya ia dapat kembali kepada kedudukan asal kerana ia menawarkan sesuatu yang berbeza untuk pasaran tempatan.

Di Eropah lain pula ceritanya, prinsip yang dipegang VW diperakui dan ini dibuktikan apabila berjaya memenangi pelbagai anugerah reka bentuk dan inovasi di Pameran Kenderaan Antarabangsa Frankfurt (IAA) yang sedang berlangsung sekarang ini.

Paling gah apabila para juri telah memilih VW untuk menerima Anugerah Plus X dan Jenama Paling Inovatif 2017. Selain itu, model baharu VW Arteon pula menduduki ranking tertinggi “Best of Best” dalam “Automotive Brand Contest 2017”.

Anugerah Plus X ialah salah satu dari penghargaan peringkat dunia untuk inovasi dalam bidang teknologi, sukan dan gaya hidup. Ia adalah pengiktirafan kepada produk yang mempunyai kelebihan daripada segi kualitatif dan inovatif. 

Selain daripada anugerah tertinggi tersebut, empat buah model dari Jerman itu telah memenangi beberapa pengiktirafan seperti berikut:

  • D.BUZZ – “Kenderaan Konsep Automotif 2017
  • Golf – Kereta Penumpang Kompak 2017
  • Atlas – SUV 2017
  • Arteon –  Kereta Penumpang 2017

Arteon turut menduduki rangking tertinggi “Best of Best” dalam kategori Interior dan Luaran Jenama Massa dalam “Automotive Brand Contest” tahun ini.

Juri antarabangsa memilih Arteon berdasarkan beberapa faktor antaranya ialah pereka VW berjaya membawa reka bentuk kenderaan masa depan secara bersahaja dalam model produksi ini.

Pereka VW juga berjaya mengadunkan elemen kereta sports tradisional dengan ruang dan keanggunan kereta sportsback dan pada masa sama memasukkan elemen gayaan inovatif dan perincian reka bentuk pada sebuah kereta produksi.

Majlis Reka Bentuk Jerman (Rat für Formgebung) menganjurkan Pertandingan Jenama Automotif pada setiap tahun bagi menghargai produk dan bahasa reka bentuk cemerlang dalam industri automotif.

Ia diasaskan sebagai sebuah yayasan pada tahun 1953 yang merupakan insiatif badan persekutuan Jerman dan telah diiktiraf di peringkat dunia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang komunikasi reka bentuk.

Produk kereta VW pada hari ini dijual di lebih 150 pasaran seluruh dunia dan dihasilkan di lebih 50 lokasi di 14 buah negara. Pada tahun 2016, VW telah mengeluarkan 5.99 juta kenderaan dengan produk terlaris seperti Golf, Tiguan, Jetta dan Passat.

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40,000!

BACA: TIGUAN – TARUHAN PENTING JENAMA VOLKSWAGEN 

Google ads
Back to top button