Buletin

VW POLO 2018 – LEBIH BESAR, CANGGIH DAN BERGAYA!

Pasaran kereta kompak sebenarnya sangat besar. Eropah dan Asia sangat menggemari kereta sebegini. Sebagai contoh, hampir kesemua pengeluar terkemuka dunia mempunyai kereta kompak. Sehingga pengeluar kereta premium seperti BMW dan Mercedes-Benz turut mempunyai wakil dalam segmen ini.

Di Malaysia pula, Perodua Myvi dengan falsafah binaan ringkas berjaya melonjakkan Perodua sebagai pengeluar kereta nombor satu negara berbelas tahun lamanya. Kedudukan itu dijangka akan bertahan lama memandangkan pesaing terdekat tidak mempunyai produk dan servis selepas jualan yang dilihat mampu untuk menyaingi Perodua.

Syarikat yang mahu menyaingi Perodua bukan setakat memerlukan satu malah beberapa model kerana Myvi, Axia dan Bezza berada unggul dalam segmen masing-masing. Itu belum lagi soal khidmat jualan dan kos pemilikan yang dimiliki Perodua.

Di peringkat global pula, pasaran tradisional harus dipertahankan. Dengan kehadiran model-model hebat dari pesaing seperti Ford, Nissan, Hyundai mahu pun Kia, Volkswagen perlu terus mempertahankan legasi yang ada pada Polo. Tambah lagi, VW mengambil masa yang begitu lama untuk mengeluarkan model gantian.

Sedar atau tidak, Polo yang ada sekarang ini mula diperkenalkan pada tahun 2009. Lapan tahun untuk sebuah gergasi seperti VW menghasilkan model gantian global adalah suatu yang pelik. Malah sangat pelik.

Nampaknya, tempoh masa yang lama itu dilihat berbaloi dengan pengenalan model baharu ini. VW Polo 2018 (MK6) tampil dengan rekabentuk moden, segar dan menariknya ia lebih besar malah paling besar dalam sejarah kereta yang sudah terjual lebih dari 14 juta unit itu.

Berdasarkan pemerhatian, VW nampak seperti mahu merombak semula posisi model-model utama di mana Polo ini berkemungkinan diangkat satu kelas lebih tinggi. Kedudukan Polo seperti bakal diisi oleh VW up! atau apa-apa model baharu seumpamanya. Lebih menarik, VW sedang membangunkan up! versi GTI pula.

Ini dilihat selari dengan amalan pengeluar global lain, model yang dahulunya kereta rakyat sudah memasuki kelas pertengahan seperti Golf sendiri atau Civic, Corolla, Sylphy dan lain-lain.

Buat purist atau peminat Polo, mungkin merasakan model baharu ini sudah lari daripada konsep asalnya yang merupakan sebuah kereta kompak, ringkas dan bersahaja. Apa pun, berikut ialah fakta mengenai VW Polo 2018.

  • Polo MK6 ini dilihat mampu meneruskan legasi yang ada pada model-model terdahulu. Dengan jualan melebihi 14 juta unit di seluruh dunia, Polo adalah salah satu model paling berjaya dalam segmennya.
  • Polo paling besar pernah dibangunkan – Ukuran panjang ialah 4,053 mm dengan jarak roda 94 mm lebih panjang. Saiz ini dikatakan bakal menyumbang kepada pemanduan dan keselesaan yang cemerlang.
  • Di antara faktor lebih besar ialah Polo menggunakan platform MQB yang dipendekkan. VW turut menggunakan platform itu untuk SUV Tiguan
  • But juga besar – Model lama mempunyai saiz but yang kecil. Model baharu ini datang dengan 351 liter ruang bagasi iaitu 25 peratus lebih besar berbanding model lama.
  • Lebih canggih – Dilengkapi Front Assist, Blind Spot Detection, Adaptive Cruise Control dan lampu utama LED
  • Meter digital – Active Info Display VW kini sudah memasuki generasi kedua dan pertama kali digunakan pada Polo 2018
  • Rekabentuk lebih karismatik – Bahagian depan tampak lebih maskulin berbanding gayaan comel sebelumnya
  • Pelbagai varian untuk semua daripada Trendline, Comfortline, Highline, GTI, Beats dan R-Line
  • Pelbagai pilihan warna luar dan dalam – Polo 2018 tampil dengan 14 warna luar dan 13 warna kemasan papan pemuka!
  • Juga kali pertama ialah enjin yang setara dengan gas asli
  • Harga menarik – Model standard dengan Front Asist dipasarkan pada Euro (Jerman) 12,975 atau RM 62,097.88. Lebih murah dari Honda Jazz type S di Malaysia.

Untuk perbandingan saiz, di bawah ialah ukuran VW Polo 2018, Polo 2009 (MK5) dan Golf 1997 (MK4)

Ukuran dalam mm Polo MK 6 (2017) Polo MK 5 (2009) Golf MK 4 (1997)
Panjang 4,053 3,972 4,149
Lebar (tanpa cermin sisi) 1,751 1,682 1,735
Tinggi 1,446 1,453 1,439
Jarak di antara roda 2,564 2,470 2,511
Kelegaan bahagian kepala depan 1,019 1,004 1,014
Kelegaan bahagian kepala belakang 964 943 955
Saiz but 351 280 330

Dan berikut pula ialah jenis nadi kuasa yang ditawarkan pada VW Polo 2018:

Gas asli

  • 1.0 TGI / 90 PS, 5 kelajuan manual

Petrol

  • 1.0 MPI / 65 PS, 5 kelajuan manual
  • 1.0 MPI / 75 PS, 5 kelajuan manual
  • 1.0 TSI / 95 PS, 5 kelajuan manual / 7 kelajuan DSG
  • 1.0 TSI / 115 PS, 6 kelajuan manual / 7 kelajuan DSG
  • 1.5 TSI / 150 PS, 6 kelajuan manual / 7 kelajuan DSG
  • 2.0 TSI / 200 PS, 6 kelajuan manual / 7 kelajuan DSG

Diesel

  • 1.6 TDI / 80 PS, 5 kelajuan manual
  • 1.6 TDI / 95 PS, 5 kelajuan manual / 7 kelajuan DSG

Bila masuk ke Malaysia?

Semestinya VW mempunyai perancangan besar dengan Polo terbaru ini jika dilihat bagaimana ia diposisikan. Nampaknya ia bukan sahaja untuk menyaingi model global lain seperti Jazz, Micra atau Fiesta malah seperti sedia untuk menggempur pasaran suam kuku jenama itu seperti di ASEAN.

BACA: VOLKSWAGEN MICROBUS YANG REPUT TERUK INI TERIMA BIDAAN HAMPIR RM40,000!

Memandangkan model ini baru sahaja dipertontonkan pada Jumaat lepas, kemungkinan ia bakal memakan masa yang tidak sekejap tambahan pula Polo yang dijual sekarang ini dikilangkan di Pekan, Pahang. Proses untuk memulakan projek CKD memerlukan masa yang agak lama. Dan jika mengikut tradisi, model hatchback bakal disusuli dengan Polo Sedan untuk pasaran tertentu dunia.

Selain itu, VW perlu menyegarkan kembali semula reputasi sebelum Polo ini dilihat boleh berjaya seperti mana ia mula-mula diperkenalkan dahulu. Dan langkah tersebut sudah pun dimulakan dengan pelancaran VW Passat dan Tiguan baharu.

BACA: VOLKSWAGEN GOLF R 2017 – 310PS, 100km/j HANYA 4.6 SAAT

Nota: Gambar yang dipamerkan adalah VW Polo R-Line

Google ads
Back to top button