Motosikal

HUD NUVIZ UNTUK PENUNGGANG MOTOSIKAL – RM3,345 SEUNIT!

Dengan peranti ini, anda boleh berangan menjadi Iron Man. Ini kerana NUVIZ boleh menukar topi keledar anda menjadi satu hab multimedia penuh, lengkap dengan fungsi head-up display (HUD) sekali. 

NUVIZ baru-baru ini mengumumkan kebolehdapatan peranti HUD tersebut. Direka khas untuk keperluan penunggang motosikal, peranti ringan itu boleh dipasang pada topi keledar full-face. Ia kemudian akan memancarkan maklumat yang boleh diubah suai ke aras pandangan penunggang.

Bukan itu sahaja, HUD NUVIZ turut mengintegrasikan fungsi-fungsi penting lain yang diperlukan oleh pengguna. Misalnya navigasi, komunikasi dan pemain media. Jadi, tidak perlu ada banyak media dilekatkan pada topi keledar.

Peranti itu turut merangkumi sebuah kamera aksi HD dan unit kawalan tanpa wayar di bar hendal untuk mengakses semua fungsi. Jadi, anda tidak perlu mengalihkan tangan dari bar hendal dan fokus kepada tunggangan.

Sebaik sahaja dipasang pada topi keledar dan diselarikan dengan aras mata pengguna, optik NUVIZ akan menghasilkan satu imej maya yang terapung. Sama seperti maklumat HUD yang boleh anda tengok dalam permainan video.

Kit NUVIZ yang dipadankan dengan aplikasi telefon pintar membolehkan penunggang merancang perjalanan. Selain mengakses foto yang dirakam atau melihat statistik tunggangan.

Kamera dipasang pada satu ball joint bagi membolehkan posisinya diubah suai. Ia juga dilengkapi alat pengesan cahaya untuk mengubah suai tahap kecerahan secara automatik. Pengguna boleh merakam gambar 8MP dengan menekan satu butang atau merekod video dalam format 1080p pada 30fps atau 720p pada 60fps.

BACA: YAMAHA FZ150i 2017 – ADAKAH INI PETANDA M-SLAZ AKAN TIBA TIDAK LAMA LAGI? 

NUVIZ dikuasakan oleh sebuah bateri Lithium-ion 3250 mAh yang boleh dicaj semula atau diganti dan mampu bertahan selama lapan jam. Anda boleh meningkatkan storan sedia ada (10GB) menggunakan kad microSD sehingga 128GB.

NUVIZ didatangkan dengan pembesar suara, mikrofon dan unit kawalan pada bar hendal. Harganya, €699 (RM3,345) seunit. Mahal siot!

GALERI

Google ads
Back to top button