Buletin

BYD MUNGKIN TAK JADI BELI KILANG FORD DI JERMAN, MAHU BINA KILANG SENDIRI DI EROPAH

Salah satu syarikat pengeluar EV terbesar di China, BYD sebelum ini dilapor akan mengambil alih kilang pemasangan kenderaan Ford di Saarlouis, Jerman.

Namun laporan terkini mendedahkan syarikat China itu lebih berminat untuk membina sendiri kilang mereka di Eropah.

Naib presiden eksekutif BYD, Stella Li menjelaskan kepada Bloomberg, “Kami tidak memberikan tumpuan kepada fasiliti syarikat tertentu. Kami sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk melihat perancangan masa depan. Seperti, jika kami mendirikan fasiliti tersendiri di rantau ini, apakah penyelesaian terbaik yang ada di luar sana?”

Sebelum ini, wakil jurucakap Ford memberitahu Wall Street Journal yang menjelaskan pihak mereka kini sedang meneliti beberapa opsyen sebagai sebahagian daripada langkah untuk menutup kilang tersebut.

Melihatkan kepada usaha BYD untuk meluaskan pasaran mereka, penjualan kilang tersebut kepada BYD dilihat satu pilihan yang menarik.

Selain China, BYD mengumumkan perancangan untuk menembusi beberapa negara Eropah termasuklah Jerman, Sweden, Norway, Perancis dan UK.

Pada masa akan datang, BYD akan memfokuskan usaha mereka untuk tiga pasaran utama, iaitu Asia, Eropah dan Amerika Selatan.

Di pasaran Amerika Selatan, BYD berharap agar dapat meningkatkan pegangan pasaran antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh lima tahun, memfokuskan kepada elektrifikasi fleet korporat dan kerajaan.

Terdapat juga ura-ura di mana Ford akan melepaskan beberapa fasiliti di Brazil kepada BYD. – Bloomberg

Google ads
Back to top button