MODENAS ELEGAN 250 EX 2023. ENJIN EURO4, 22.1HP, LAMPU PROJEKTOR, 2 WARNA BAHARU, BERMULA RM17K
Dalam usaha untuk memenuhi peraturan pelepasan emisi Euro 4, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) telah menaik taraf skuter maxi Elegan 250 ABS dengan memperkenalkan versi baharu, Elegan 250 EX.
Ditawarkan pada harga RM16,997 seunit, Elegan 250 EX baharu didatangkan dengan enjin 250cc yang mematuhi piawaian Euro 4.
Enjin dengan sistem pancitan bahan api, 4 lejang dan silinder tunggal SOHC itu mampu menjana kuasa maksimum 22.1 hp pada 7,000rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500rpm.
Memandangkan piawaian untuk enjin Euro 4 lebih ketat berbanding enjin Euro 3, maka model tersebut dilengkapi anti-pelepasan tambahan bagi memastikan toksin di dalam gas ekzos adalah seminimum mungkin apabila dilepaskan ke udara. Jadi, Elegan 250 EX baharu pastinya lebih menjimatkan bahan api dan mengurangkan pencemaran.
Dengan beratnya kekal 195kg, skuter maxi ini memang tidak begitu ringan. Tetapi dengan pusat graviti yang rendah dan pengendalian tangkas menjadikannya sebuah skuter yang seronok untuk ditunggang walaupun melalui lalu lintas yang padat.
Model 2023 didatangkan dengan lampu hadapan jenis projektor yang lebih moden dan lampu nyalaan siang (LED) yang dapat dilihat dengan jelas.
Manakala lampu belakang berbentuk X yang merupakan signaturnya membuatkan skuter ini mudah dilihat apabila ditunggang pada waktu malam.
Selain daripada lampu hadapan projektor yang dinaik taraf, ciri-ciri lain seperti meter kelajuan digital pelbagai fungsi, meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan penunjuk paras minyak petrol dikekalkan.
Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka semasa perjalanan.
Aspek keselamatan pula terdiri daripada brek ABS dwi-saluran yang mengelakkan roda daripada terkunci dan membrek dengan selamat dalam apa jua keadaan.
Modenas Elegan hadir dengan waranti selama dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu) sokongan selepas jualan yang cemerlang.
Modenas Elegan 250 EX kini boleh didapati dalam dua skema warna baharu iaitu perak (Matte Silver Crystal) dan biru (Petroleum Blue).
- BACA: MODENAS LANCAR ELEGAN 250 ABS. SPEEDOMETER DIGITAL, PORT USB, LAMPU LED, RM15,315 SAHAJA!
- BACA: YAMAHA XMAX 250CC KINI DI PASARAN, RM22.5K. INI PENCABAR MODENAS ELEGAN DAN SYM EVO
- BACA: KAWASAKI NINJA ZX-25R PREBIU DI MOTOGP MALAYSIA. LANCAR TAHUN DEPAN, CKD GUNA JENAMA MODENAS, HARGA KOMPETITIF!
- BACA: MODENAS LANCAR NINJA 250, NINJA 250 ABS DAN Z250 ABS. BERMULA RM18,900 SAHAJA!
GALERI