Buletin

BYD SEAL 08 DIDEDAHKAN: TAWAR JARAK GERAK 1,000KM, DILENGKAPI GOD’S EYE 5.0

BYD mula membuka tirai kepada sedan flagship terbaharunya, Seal 08, menerusi beberapa imej acah rasmi menjelang kemunculan global pada 5 Mac.

Model ini dilihat sebagai versi produksi kepada konsep Ocean-S, sekali gus menandakan langkah seterusnya dalam evolusi barisan Ocean yang lebih premium.

Dari segi rekaan, Seal 08 mengaplikasikan bahasa gaya Ocean Aesthetic 2.0 dengan profil hadapan yang rendah dan lebar, lampu utama LED yang lebih tirus serta lampu nyalaan siang berbentuk melengkung.

Turut jelas kelihatan unit LiDAR yang dipasang pada bumbung, memberi bayangan bahawa sedan ini akan dipadankan dengan sistem bantuan pemanduan termaju God’s Eye 5.0 (DiPilot 300).

Berbanding konsep Ocean-S yang tampil lebih radikal dengan kamera sisi dan pintu bukaan songsang, versi produksi Seal 08 menggunakan cermin sisi konvensional serta pemegang pintu separa tersembunyi.

Di belakang, lampu LED jenis penuh merentangi lebar kenderaan dengan grafik berinspirasikan ombak, selari dengan identiti Ocean.

Dari aspek teknikal, Seal 08 dibangunkan atas seni bina voltan tinggi 800V. Ia dijangka menyokong teknologi pengecasan pantas “Megawatt Flash Charging” yang serasi dengan rangkaian pengecas 1,500kW di China.

Menggunakan bateri Blade generasi kedua (Blade 2.0), data awal menunjukkan keupayaan menambah jarak sehingga 400km dalam hanya lima minit pengecasan.

Varian tertinggi pula dikatakan mampu menawarkan jarak melebihi 1,000km mengikut kitaran CLTC.

Bagi memastikan pengendalian setanding saiznya yang melebihi lima meter panjang, Seal 08 turut dilengkapi sistem stereng roda belakang serta kawalan redaman pintar DiSus-C untuk keseimbangan antara keselesaan dan kestabilan.

Model ini bakal menjadi peneraju bagi siri “Ocean 8”, iaitu peringkat tertinggi dalam rangkaian Ocean BYD, menyasarkan segmen sedan eksekutif premium.

Dengan kemunculan rasminya tidak lama lagi, Seal 08 dijangka memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan BYD di pasaran domestik dan eksport global.

Google ads
Back to top button