
BYD SEAL 08 DILANCARKAN DI CHINA – EV DAN PHEV, HARGA MULA RM116K
BYD secara rasmi memperkenalkan sedan mewah terbaharunya, BYD Seal 08, di pasaran China dengan pilihan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) dan plug-in hybrid (PHEV).
Model di bawah siri Ocean Network itu ditawarkan pada harga bermula 196,900 yuan (sekitar RM116,000) bagi varian asas.
Seal 08 diposisikan sebagai sedan premium bersaiz sederhana besar dengan dimensi panjang 5,150mm, lebar 1,999mm dan tinggi 1,505mm, manakala jarak roda mencecah 3,030mm. Saiz tersebut memberikan ruang kabin lebih luas terutama untuk penumpang belakang.

Antara teknologi utama yang dibawakan ialah sistem stereng roda belakang sebagai ciri standard, sekali gus membantu sedan ini mencatat radius pusingan sekitar 4.95 meter.
Ia turut dipadankan dengan sistem suspensi udara DiSus-A dwi-ruang bersama teknologi bacaan permukaan jalan bagi meningkatkan keselesaan dan kestabilan pemanduan.
Bagi varian elektrik sepenuhnya, Seal 08 dibina menggunakan platform voltan tinggi 800V yang menyokong teknologi pengecasan pantas BYD. Ia menggunakan bateri Blade generasi kedua dengan kuasa maksimum sehingga 510kW.


Varian EV paling berkuasa mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat, selain menawarkan jarak perjalanan sehingga 905 kilometer mengikut standard CLTC.
Sementara itu, versi plug-in hybrid menggunakan gabungan enjin 1.5 liter turbo bersama dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 400kW.
Sistem itu dipadankan dengan bateri berkapasiti 45.36kWh yang membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya sejauh 400 kilometer.


BYD turut mendakwa jarak perjalanan keseluruhan untuk versi PHEV boleh mencapai sehingga 1,660 kilometer mengikut ujian CLTC.
Di bahagian dalaman, Seal 08 hadir dengan kerusi hadapan “zero gravity”, selain fungsi pengudaraan dan urutan untuk semua penumpang. Ruang kokpit pula dilengkapi skrin sentuh utama bersaiz 15.6-inci, panel instrumen digital 12.3-inci serta paparan realiti terimbuh (AR) 26-inci.
Model ini juga dilengkapi sensor lidar bagi menyokong sistem bantuan pemanduan dan parkir automatik.
BYD sebelum ini sudah mula menghantar Seal 08 ke pusat jualan di China sejak bulan lalu sebelum jualan rasmi dibuka kepada orang ramai.


