
PHEV TAK MASUK AKAL? BOS POLESTAR DAN RENAULT BUKA MULUT…
Dua ketua eksekutif automotif terkemuka baru-baru ini melontarkan kritikan pedas terhadap kenderaan plug-in hybrid (PHEV), menyifatkannya sebagai pilihan yang tidak begitu masuk akal dalam landskap elektrifikasi semasa.
Ketua Polestar Australia, Scott Maynard, secara terbuka menyifatkan PHEV sebagai “yang paling teruk daripada dua dunia”.
Menurutnya, teknologi ini menggabungkan enjin pembakaran dalaman bersama sistem elektrik sepenuhnya – sekali gus membawa dua set kerumitan ke dalam satu pakej.
Bagi jenama yang membina reputasi sebagai pengeluar EV berprestasi tinggi dengan komitmen kuat terhadap kelestarian, pendekatan itu dianggap bercanggah dengan identiti mereka.

Sementara itu, CEO Renault, François Provost, turut menyuarakan kebimbangan terhadap PHEV – khususnya model dengan jarak pemanduan elektrik yang terlalu pendek.
Beliau berpendapat ada PHEV yang sekadar “nama sahaja”, kerana kapasiti baterinya kecil dan ramai pemilik tidak terdorong untuk mengecas. Hasilnya, kereta lebih kerap dipandu menggunakan petrol, sekali gus menafikan kelebihan utama sistem plug-in.
Sebagai contoh, model seperti Volkswagen Tiguan versi Eropah mampu menawarkan jarak elektrik yang agak kompetitif, tetapi ada juga model seperti Mazda CX-60 yang jaraknya jauh lebih pendek sebelum enjin petrol mengambil alih sepenuhnya.
Bagi Renault, penyelesaian yang lebih praktikal mungkin terletak pada konsep range-extender EV (REEV).

Dalam konfigurasi ini, seperti yang digunakan oleh Leapmotor C10 – roda digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik, manakala enjin pembakaran dalaman berfungsi hanya sebagai penjana elektrik.
Ideanya jelas: pemanduan harian kekal elektrik, dengan sokongan petrol hanya apabila perlu, termasuk perjalanan jauh mencecah 1,000km tanpa kebimbangan jarak.
Dalam masa sama, pengawal selia Eropah kini memperketat piawaian pelepasan, memaksa pengeluar meningkatkan kapasiti bateri PHEV supaya angka rasmi lebih mencerminkan penggunaan sebenar.
Namun bateri lebih besar bermakna berat tambahan dan apabila dipandu menggunakan petrol, kecekapan boleh terjejas kerana perlu mengangkut sistem elektrik yang jarang digunakan.
Perdebatan kini semakin hangat: Adakah masa depan milik EV tulen dengan bateri lebih besar dan pengecasan lebih pantas? Atau PHEV masih relevan sebagai jambatan teknologi?
Atau mungkin sistem range-extender yang menjadi kompromi paling logik antara jarak, kecekapan dan kemudahan?
- BACA: PENDUDUK LETAK TROLI, MOTOSIKAL DI LANDASAN HENTI KERETA API TENOM TIADA BREK
- BACA: MERCEDES-BENZ GLA200 DAN GLA250 4MATIC NIGHTFALL EDITION DIPERKENALKAN – HARGA BERMULA RM258K
- BACA: BMW R 1300 R SUPERHOOLIGAN DIDEDAHKAN – 145HP, 149NM
- BACA: XPENG SASAR AUTONOMI PENUH DALAM 3 TAHUN, VLA 2.0 JADI TARUHAN






