
BYD SEAL 2025 DILANCARKAN DI CHINA – DILENGKAPI SENSOR LiDAR, JARAK GERAK 650KM, HARGA BERMULA RM123K
BYD baru-baru ini telah melancarkan sedan elektrik terbaru mereka, Seal 2025, yang kini dilengkapi dengan teknologi canggih Silicon Carbide (SiC) dan platform voltan tinggi 800V.
Sedan ini juga menjadi model BYD pertama menampilkan sensor LiDAR yang dipasang di bumbung, meningkatkan fungsi Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS).
Model ini hadir dengan beberapa pilihan varian dan harga seperti berikut:
- 510 Standard Edition: 175,800 yuan (RM123,500)
- 650 Long Range Edition: 189,800 yuan (RM133,500)
- 650 Intelligent Driving Edition: 216,800 yuan (RM153,000)
- 600 Four-Wheel Drive Intelligent Driving Edition: 239,800 yuan (RM169,500)

Seal 2025 dibina di atas platform e-Platform 3.0 Evo, sama seperti yang digunakan oleh Sealion 07.
Kenderaan ini menampilkan sistem kawalan SiC 1,200V dan motor berprestasi tinggi 23,000rpm yang mampu mencapai kelajuan maksimum 240 km/j serta pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi integrasi bateri CTB (Cell-to-Body), sistem pam haba berprestasi tinggi, dan menyokong teknologi 800V, membolehkan pengecasan dari 10 ke 80 peratus dalam hanya 25 minit.
Rekaan dan Dalaman Baharu
Dari segi reka bentuk, Seal 2025 mengekalkan dimensi asalnya — 4,800mm panjang, 1,875mm lebar, 1,460mm tinggi, dan jarak roda 2,920mm.

Walaupun rekaan luaran dikekalkan, terdapat perubahan kecil di bahagian dalaman, termasuk stereng empat jejari rata, skrin terapung besar yang boleh berputar, konsol tengah minimalis dengan butang fizikal, saluran udara tersembunyi, serta pad pengecasan tanpa wayar.
Semua model Seal 2025 dilengkapi dengan 13 beg udara dan paparan kepala W-HUD.
Sensor LiDAR yang baharu ditambah kini meningkatkan fungsi ADAS kenderaan ini, termasuk sistem DiPilot 300 tahap L2+, di mana ia menyokong pemanduan automatik di lebuh raya dan bandar, serta ciri Automated Valet Parking (AVP).
Pilihan Bateri dan Prestasi

Seal 2025 menawarkan dua pilihan bateri: 61.44kWh dan 80.64kWh, dengan jarak pemanduan CLTC antara 510 km hingga 650 km.
Model asas dilengkapi dengan varian motor belakang 228hp, manakala versi yang lebih berkuasa menawarkan pilihan 308hp.
Varian tertinggi pula menawarkan 523hp dengan pacuan semua roda.
Sedan ini juga menerima peningkatan casis yang menampilkan sistem Disus-C BYD, bagi meningkatkan kestabilan, keselesaan, dan pengendalian keseluruhan suspensi.


