
CARI CRUISER MAMPU MILIK TAPI LEBIH ‘KICK’? BOLEH PERTIMBANG QJMOTOR SRV 700
Beberapa tahun sebelum ini segmen motosikal cruiser tidak menawarkan pilihan yang banyak dan rata-rata model ditawarkan terdiri dari Kawasaki Vulcan 650 serta Honda Rebel 500.
Selain daripada dua model ini, pelanggan tiada pilihan kecuali meninjau motosikal cruiser dari Amerika Syarikat antaranya Harley-Davidson. Namun begitu, jenama ini hadir dengan harga yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, cruiser segmen pertengahan dengan harga mampu milik hanya menawarkan kuasa yang memadai. Sebagai contoh, Vulcan 650 hanya menawarkan 61hp sementara Rebel 500 hadir dengan 45.5hp sahaja.
Bagaimanapun, peminat motosikal cruiser di Malaysia kini berpeluang untuk mendapatkan motosikal cruiser yang lebih berkuasa dan mampu milik menerusi QJMotor SRV 700. Selain itu, SRV 700 ini juga hadir dengan ciri yang lebih moden.

Pertamanya, SRV 700 dipacu enjin parallel-twin 689cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 73hp pada 8,750rpm dan 68.2Nm pada 6,250rpm. Kuasa enjin pula disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan dengan bantuan klac ‘multi-disc’.
Meskipun bergaya seperti cruiser konvensional namun SRV 700 hadir dengan ciri moden seperti ABS dwi-saluran dan skrin TFT berwarna yang boleh dihubungkan ke telefon pintar menerusi aplikasi Carbit.

Apa yang kami kagum adalah penggunaan minyak yang jimat ekoran motosikal ini hadir dengan tangki bahan apai berkapasiti 16L.
Juga mencuri tumpuan adalah reka bentuk keseluruhan motosikal ini yang tampil lebih menarik berbanding pesaing lain dalam segmennya.

Dalam pada itu, dengan harga jualan hanya RM33,888 sememangnya meletakkan QJMotor SRV 700 antara motosikal cruiser segmen pertengahan yang paling berbaloi untuk dipertimbangkan.
GALERI: QJMOTOR SRV 700












