Buletin

HIMPUNAN KERETA LUMBA NISSAN DAN DATSUN KLASIK – MELELEH YOB!

Apabila Nissan mengeluarkan semula Datsun sebagai kereta ekonomi tidak pasti sama ada ia kena dengan warisan yang telah dipegang sekian lama.

Ada yang mengenali Datsun sebagai kereta penumpang dan tidak kurang juga kereta lumba yang hebat di litar serata dunia.

Nissan dikira beruntung kerana dibawahnya tersimpan dua jenama klasik hebat iaitu Datsun dan Prince yang terbukti hebat di litar lumba.

Bagi mengenang semula kehebatan jenama ini, penganjur 2018 Rolex Monterey Motorsports Reunion (RMMR) akan menganjurkan satu perlumbaan kereta lumba Datsun dan Nissan klasik di litar Laguna Seca,California, Amerika Syarikat.

Perlumbaan ini diadakan sempena Monterey Car Week yang pada sama turut diadakan pameran Pebble Beach Concours d’Elegance® .

Nissan dan Datsun mempunyai sejarah perlumbaan yang lama di AS iaitu lebih dari 50 tahun lalu lagi.

Dalam tempoh tersebut Nissan dan Datsun telah memenangi lebih dari 100 perlumbaan Sports Car Club of America (SCCA) National Championships dan lebih dari 200 perlumbaan International Motor Sports Association (IMSA).

Untuk perlumbaan RMMR tahun ini lebih dari 50 buah kereta Nissan dan Datsun klasik telah mendaftar yang turut menghimpunkan sejumlah pelumba legenda.

Di antara nama besar dalam perlumbaan ini ialah juara IMSA iaitu Steve Millen dengan kereta kejuaraan Daytona dan Le Mans iaitu Nissan 300ZX Turbo.

Turut serta ialah pelumba yang berada dalam senarai Hall of Fame iaitu John Morton yang bakal memandu BRE Datsun 240Z.

Pelumba lain ialah ahli komedi dan pengumpul kereta vintaj Adam Carolla bakal memandu kereta 300ZX Turbo SCCA National GT-1 Championship yang pernah digunakan oleh Paul Newman.

Perlumbaan RMMR dimulakan sejak tahun 1974 dan ini adalah kali pertama kereta buatan Jepun diiktiraf.

Selain perlumbaan, kereta lumba klasik Datsun dan Nissan turut dipamerkan.

Di antaranya ialah BRE Datsun 510 yang dipandu oleh John Morton dalam kejuaraan 1971 dan 1972 SCCA, GTP ZX-Turbo yang dipandu oleh Geoff Brabham dalam lapan kali kemenangan IMSA dan juara kategori pemandu IMSA 1988 dan juga 240Z yang dipandu oleh Bob Sharp dalam empat kali kemenangan SCCA.

Turut dibawa untuk tontonan awam ialah kereta juara GP Jepun 1969 iaitu Nissan R382, Nissan R390 GT1 yang hanya satu sahaja di dunia dan kereta baharu Nissan GT-R50 by Italdesign.

Dengan legasi yang hebat sudah sampai masa Datsun mempertimbangkan untuk menyertai semula perlumbaan sebab ini adalah sebahagian DNA jenamanya. Tidak kira lah walaupun dengan kereta kompak Datsun GO.

BACA: DATSUN BLUEBIRD 510 ENJIN 50 TAHUN!

BACA: DATSUN SSS 510 LEGEND!

Google ads
Back to top button