Buletin

MISTERI KOD RAHSIA ROLLS-ROYCE WRAITH KRYPTOS.MACAM FILEM DA VINCI CODE

Pereka jenama Rolls-Royce tidak pernah kekurangan dalam aspek kreativiti. Ia dibuktikan dengan model terbaharu edisi terhad pengeluar kereta Rolls-Royce, Wraith Kryptos Collection.

Kelainan model terbaharu yang perlu ditempah ini adalah menggabungkan rangkaian mesej tersulit (encrypted) malah dua orang sahaja mengetahui jawapan kepada mesej rahsia berkenaan.

Selain itu, terdapat hanya 50 unit kenderaan bagi Wraith Kryptos Collection.  

“Kryptos berasal dari bahasa Yunani Kuno, ia merujuk kepada sesuatu yang tidak kelihatan, tersembunyi dan berkod malah terdapat unsur-unsur mitos.

“Mesej rahsia ataupun cipher boleh dikesan merentasi millennia, menggunakan imaginasi para pemikir paling hebat di dunia,” kata pereka kereta berkenaan, Katrin Lehmann.

Lehman menambah sebagai pereka, dia terpesona dengan tanggapan anda boleh menyampaikan mesej yang hanya difahami golongan elit menggunakan simbol, piktogram dan mesej rahsia.

Katanya, mencari kunci (jawapan) menjadi penting dalam menghargai sesuatu subjek yang dapat dilihat sebagai hasil karya seni.

Mesej rahsia tersulit yang terdapat di Wraith Kryptos Collection bertujuan membawa pelanggan dalam satu pengembaraan menarik.

Dua orang yang mengetahui jawapan dan mesej rahsia tersulit berkenaan ialah Lehmann dan Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce, Torsten Muller-Otvos.

“Saya tidak sabar untuk melihat sama ada para pelanggan dapat memecahkan kod berkenaan,” kata Muller-Otvos.

Bagi memulakan pengembaraan, para pembeli terlebih dahulu perlu melihat lambang Spirit of Ecstasy yang mempunyai ukiran terperinci dengan enamel hijau di bahagian pangkal lambang tersebut.

Banyak sangat misterinya, kita tolak tepi sekejap, Wraith Kryptos Collection menawarkan warna luaran kelabu (Delphic Grey).

Ia terdiri daripada warna asas solid Anthracite manakala warna biru dan hijau mica flakes akan hadir apabila terkena pancaran matahari.

Bahagian luaran kereta didatangkan dengan dua garisan mendatar (coach line) yang dicat secara manual menggunakan tangan.

Garisan atas mendapat sentuhan warna hijau (Kryptos Green) digabungkan warna kelabu (Dark Grey Shadow) di bahagian bawah.

Melengkapkan penampilan kereta mewah ini, mesej rahsia tersorok di dalam fabrik dalaman.

Difahamkan, petunjuk bagi mesej rahsia berkenaan disulam rapi di bahagian sandaran kepala. – carscoops.

Google ads
Back to top button