Artikel Pilihan

CATERHAM 360R – JELMAAN HELIKOPTER TENTERA KHAS UNTUK KUMPUL DANA KEBAJIKAN

Siapa tak kenal dengan Caterham yang banyak hasilkan kereta berbentuk tab mandian. Nampak memang kelakar tapi Caterham Seven memang sebuah kereta trek yang menyeronokkan. Kali ini Caterham bergandingan dengan Royal Air Force (RAF) untuk hasilkan sebuah model istimewa yang dinamakan Seven 360R.

Ini ialah sebuah model yang unik kerana diperbuat daripada komponen helikopter yang telah dibersarakan. Tujuannya kini hanya satu: untuk mengisi tabung kebajikan. Lebih tepat lagi tabung kebajikan untuk anggota-anggota tentera yang tercedera semasa bertugas. Kereta ini bakal dilelong menerusi Collecting Cars.

Kereta sport istimewa ini dijangka akan mencecah harga RM600,000 semasa lelongan dan kesemua hasil lelongan akan disalurkan ke Mission Motorsport dan tabung kebajikan RAF. Cayalah.

Ia akan dihasilkan dengan tangan oleh pekerja Caterham dan kakitangan RAF Benson, Oxfordshire. Rekaan kereta ini boleh dianggap sebagai satu penghormatan kepada helikopter Aerospatiale Puma yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Helikopter tersebut mula memasuki perkhidmatan pada tahun 1972 dan telah digunakan untuk menghantar askar, senjata dan peluru ke medan peperangan. Ia juga bertanggungjawab membawa kakitangan perubatan dan mengejarkan anggota tentera yang cedera ke hospital.

360R menggunakan panel badan aluminium yang diambil terus daripada pesawat tersebut. Saksikan gambar-gambar ini dan anda akan dapati pelbagai perkakasan yang diambil terus daripada pesawat tersebut khususnya suis-suis dan alat kawalan lain.

Malah ia juga kemudian dilayangkan dengan cat Nato Green dan Dessert Sand merujuk kepada kawasan operasi helikopter tersebut.

Material penebat bunyi pesawat tersebut diguna kembali pada bahagian pintu dan terowong gear 360R. Macam kami cakap tadi macam-macam suis dan meter termasuk jam turut dipindah masuk ke bahagian papan pemuka kereta ini.

Menjengah ke bahagian bonet kelihatan kotak peluru yang sebelum ini diisikan peluru 50kcal kini digunakan sebagai tempat meletak bateri kereta.

Bahagian mekanikal 360R adalan sama dengan model Seven standard lain. Enjin empat selinder Duratec 2.0 liter yang digunakannya mampu menjana 180 hp kuasa dan dihantar ke roda belakang untuk pacuan segera. Cukup laju untuk sebuah kereta yang ringan macam ni.

Google ads
Back to top button