Artikel Pilihan

CERMIN KERETA RETAK? INI CARA TUKAR CERMIN PERCUMA..

Anda sedang memandu secara cermat jalan raya, sambil-sambil bermain mata dengan awek sebelah yang memandu Honda. Sedang anda memandu tiba-tiba entah dari mana datang batu melayang, terkena pada cermin di bahagian tepi. Kesan retak mulai kelihatan, tapi tak panjang sangat. Tapi ia menjadi semakin panjang dari sebelah kanan sehinggalah ke sebelah kiri cermin.

Ala masaklah nak tukar cermin. Baru dapat duit gaji kan, dah habis nak kena tukar cermin pulak. Kalau anda berjimat semasa mengambil perlindungan takaful dan tidak mengambil perlindungan takaful untuk cermin, memang anda kena ganti cermin tersebut dengan duit anda sendiri. Tapi kalau anda mengambil perlindungan cermin, maka selamat duit anda.

Jadi kami senaraikan langkah-langkah kalau anda hendak menukar cermin dengan menggunakan insuran. Tak perlu bayar apa-apa pun.

1. Haa pastikan kereta anda ada klausa perlindungan cermin. Dengan bayaran serendah RM 90 setahun, anda boleh melindungi cermin depan, cermin sisi, dan cermin belakang. Maaf cermin mata takaful tak cover ya. Kalau anda tiada perlindungan takaful untuk cermin, hantuklah kepala pada tiang rumah

Pilihan yang ada ialah dengan membaiki keretakan tersebut untuk sementara waktu dengan kaedah rawatan kimia.

2. Semak senarai bengkel panel oleh pihak insuran yang membuat penukaran cermin berhampiran anda. Cuba telefon dan bertanyakan adakah jumlah perlindungan takaful anda cukup. Kalau tak cukup kemungkinan anda kena tambah sedikit dengan duit tunai. Katakan kos cermin ialah RM 700 dan perlindungan anda cuma RM 600.

Maka lebihan RM 100 perlu dibayar tunai. Tanya juga samaada bengkel tersebut memiliki stok cermin yang sesuai dengan kereta anda. Cara lain yang mudah ialah bertanyakan pusat servis jenama kereta yang anda guna, tapi kemungkinan ia mahal sedikit.

3. Sediakan dokumen yang mencukupi seperti salinan kad pengenalan pemilik (depan belakang), lesen memandu (pastikan masih hidup, bukan mati), salinan geran dan juga polisi takaful anda. Jangan risau NCD anda tidak akan berkurang disebabkan tuntutan cermin.

4. Buat temujanji dengan bengkel panel dan hantar pada hari yang ditetapkan. Pastikan anda membawa semua dokumen yang diperlukan semasa datang ke bengkel.

5. Proses penukaran cermin memakan masa antara 2-3 jam bergantung pada kepakaran juruteknik dan bilangan pekerja yang ada di bengkel. Lebih baik anda tinggalkan saja kereta anda di bengkel.

6. Selepas selesai ambil kereta anda untuk dibawa pulang. Anda akan dapati terdapat pelekat tambahan yang dipasang pada bahagian cermin dan juga bumbung. Pelekat ini boleh dibuang selepas 5-6 jam. Tujuan pelekat ini dipasang ialah untuk memastikan cermin dipasang pada kedudukan yang betul

7. Cermin yang baru ditukar tidak boleh dipasang dengan penapis haba (Tinted) dalam masa 3 hari bagi memastikan gam yang digunakan telah kering sepenuhnya. Penggunaan bahan kimia semasa pemasangan penapis haba akan mengganggu proses pengeringan gam jika dibuat sebelum gam cermin kering

8. Anda juga dilarang sama sekali dari membasuh kereta dalam masa 3 hari. Penggunaan water jet semasa proses cucian akan menyebabkan gam akan rosak dan terbuka. Namun air hujan tidak akan merosakkan gam kerana air hujan tiada tekanan sekuat water jet

9. Jangan lupa untuk menambah polisi perlindungan cermin tahun depan apabila anda memperbaharui cukai jalan dan juga perlindungan takaful kereta. Kalau terlupa naya woi. Kalau tak salah, jika cermin retak melebihi 5cm, JPJ berhak menyaman anda atas kesalahan cermin retak.

Google ads
Back to top button